Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini meluluskan bantuan tambahan zakat khas kepada 24,196 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee berkata bantuan itu selaras dengan seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri agar kebajikan asnaf sentiasa dipelihara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa pada 18 hingga 31 Mac.

“Setiap asnaf akan menerima RM500 dan penyaluran bantuan ini melibatkan perbelanjaan dana zakat keseluruhan sebanyak RM12.1 juta yang disalurkan awal April nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan yang diisytihar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac lepas bertujuan mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

Syed Hussein berkata MAIWP juga telah mempercepatkan penyaluran bantuan Zakat kewangan bulanan untuk bulan Mac pada Khamis lepas (19 Mac) dengan perbelanjaan sebanyak RM9.67 juta.

“Bagi menampung keperluan peralatan kesihatan dan perubatan di hospital ekoran COVID-19, MAIWP telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.27 juta yang akan disalurkan kepada tujuh hospital di Wilayah Persekutuan.

“Bantuan yang diberikan berbentuk peralatan pernafasan seperti Mesin BiPAP (ICU) bernilai RM80,000 setiap satu, ventilator ICU bernilai RM150,000 seunit, ventilator rumah bernilai RM90,000 seunit dan peralatan-peralatan lain yang bernilai antara RM5,000 hingga RM20,000 setiap satu,” katanya.

— BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.