Dr. Noor Hisham Abdullah

IPOH – Berita tular di media sosial yang mendakwa seorang doktor pakar sebuah hospital di Perak meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 adalah tidak benar, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata doktor itu yang merupakan Pakar Perubatan Kecemasan di hospital kerajaan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini berikutan COVID-19 adalah staf kesihatan Kementerian Kesihatan yang kedua memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham menerusi kenyataan di Facebook beliau berkata seorang lagi pesakit berusia 63 tahun yang merupakan peserta perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling turut dirawat di ICU, HRPB.

“Kedua-dua pesakit kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil. Tiada kematian seperti mana yang ditularkan di media sosial,” katanya sambil menambah sehingga 12 tengah hari semalam, terdapat 45 kes COVID-19 di Perak.

Beliau berkata petugas kesihatan kementerian itu di seluruh negara sedang berusaha sebaik mungkin untuk memberi rawatan kepada pesakit COVID-19 serta mengesan kes-kes baharu.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai berdoa agar petugas kesihatan dilindungi daripada sebarang malapetaka dan diberikan kesihatan serta kekuatan menghadapi krisis COVID-19.

“Anda semua boleh membantu kami dengan duduk di rumah, sentiasa menjaga kebersihan diri dan beri kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan dan pihak keselamatan. Jujurlah apabila diminta maklumat,” katanya.- BERNAMA