Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kesemua majlis akad nikah di Selangor ditangguhkan buat sementara waktu.

Ia susulan lima Penolong Pendaftar Nikah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dikuarantin selepas mempunyai kontak dengan pesakit positif Covid-19.

Menurut Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad, arahan itu adalah sejajar dengan larangan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Perak dan Sarawak bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Kelima-lima Penolong Pendaftar Nikah itu berusia di antara 37 hingga 55 telah melalui ujian saringan Covid-19 dan sedang menanti keputusan.

“Mereka semua sedang dikuarantin di rumah,” katanya ketika dihubungi The Star hari ini.

Pegawai pertama berusia 37 tahun telah melakukan akad nikah kepada seorang pengantin yang positif Covid-19 pada 6 Mac lalu.

Pengantin perempuan dan juga beberapa saudaranya turut disahkan positif COVID-19. Mereka dipercayai telah dijangkiti melalui seorang ahli keluarga pengantin lelaki yang juga peserta tabligh di Masjid Sri Petaling.

Pegawai kedua berusia 43 tahun merupakan kontak rapat pengerusi dan timbalan pengerusi sebuah masjid yang mana kedua-duanya telah disahkan positif Covid-19.

Pegawai ketiga berusia 55 tahun mendapat jangkitan selepas bersalaman dengan dua peserta tabligh yang telah disahkan positif Covid-19.

Pegawai keempat berusia 49 tahun, menjadi kontak rapat dengan bapa pengantin lelaki yang telah disahkan positif Covid-19 manakala pegawai kelima berusia 45 tahun merupakan peserta tabligh yang menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling dari 27 Februari ke 1 Mac.- MalaysiaGazette