Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR –  Rakyat Malaysia menampakkan keyakinan penuh terhadap usaha memerangi COVID-19 yang dipimpin Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham dilihat memberi imej yang menyegarkan, profesional, tetapi tegas pada masa yang sama.

Populariti Dr. Noor Hisham melonjak dengan ramai warganet menggambarkan beliau sebagai harapan negara untuk menumpaskan virus COVID-19, malahan tidak kurang yang memberi tabik hormat kepadanya dengan membandingkan beliau dengan Dr. Zhong Nanshan di China.

Nanshan merupakan saintis terkemuka China yang menemukan wabak SARS pada 2003 dan beliau pada masa itu menentang pendirian kerajaan China yang mahu mengambil mudah wabak itu.

Selain dipandang sebagai wira yang menyelamatkan China daripada wabak SARS, Nanshan juga merupakan penasihat dalam usaha China menentang penularan COVID-19. Beliau mendapat kepercayaan yang tinggi daripada warga China dan juga warga dunia.

Dengan membandingkan Noor Hisham dengan Zhong Nanshan, ia menggambarkan betapa warganet menghormati peranan yang dimainkan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dalam menentang COVID-19 yang sedang mengganas.

“Malaysia berada situasi yang malang, tetapi juga bertuah pada masa yang sama. Kita bertuah kerana terdapat seorang pegawai yang amat berdedikasi. Ya, beliau (Noor Hisham) seorang pegawai yang berdedikasi.

“Kalau China ada Zhong Nanshan dan dua hospital COVID-19 iaitu Hospital Huo Shen Shan dan Hospital Lei Shen Shan, Malaysia pula ada Noor Hisham,” kata seorang warganet.

Seorang lagi netizen berpendapat, pada ketika politik negara bergolak, Noor Hisham telah memikul semua tanggungjawab untuk menentang COVID-19.

Sementara itu, Sinchew Daily telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk “Nasib baik ada Noor Hisham di barisan hadapan” untuk memberi pujian kepada Ketua Pengarah Kesihatan.

“Noor Hisham telah bertugas melaksanakan tanggungjawab tanpa menghebohkan prestasi.

“Bagi wartawan yang membuat liputan COVID-19, kehadiran Noor Hisham menenangkan kami,” kata penulis Sinchew Daily.

Katanya, walaupun dibanjiri soalan pemberita, tetapi Noor Hisham dapat mendengar, menganalisis dan menjawab setiap persoalan dengan sabar.

“Terima kasih Noor Hisham kerana bersama kami sepanjang masa ini,” kata penulis itu.

Bertentangan dengan Noor Hisham, terdapat menteri pula yang “terpijak bom” sehingga menerima teguran daripada warganet.

Tindakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjilat jari semasa menyelak kertas dalam siaran langsung dikatakan tidak membantu dalam menghentikan penularan penyakit.

Selain itu, kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengenai minum air suam untuk membunuh coronavirus dan menurunkan virus ke dalam perut juga dipertikaikan sebagai tidak saintifik. – MalaysiaGazette

6 Komen

  1. Beliau layak diberi pengiktirafan tertinggi kerajaan. Beliau adalah wira

  2. Wartawan janganlah bagi soalan, kalau diri sendir dan semua orang sudah tahu jawapan. Orang kata soalan bodoh. Kesian Dr ini, penat nak melayan.

  3. Mase time SARS dulu, KPK adalah TS Ismail. Tidak ade satu kes pun di Malaysia, sedangkan beratus sakit di Singapura.
    TS Ismail cepat bertindak dan tegas dgn ahli politik.
    Sekarang, sebab lembab dan takut dgn politician, keadaan jadi teruk. Tak de ape lah yg nak dibanggakan dgn KPK yg ni, pakar bedah je.

  4. Di mana Menteri Komunikasi ? Dari mula lagi dia yang patut tampil menerajui dan menyebarkan maklumat terkini. Namapun Komunikasi .

Comments are closed.