Tiga wanita ditahan selepas mengeluarkan perkataan kesat dan menghalang tugas polis yang menegur tindakan salah seorang daripada mereka bermain mercun di sebuah taman perumahan di Kerayong, Bera

KUALA LUMPUR – Memahami kesukaran orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menawarkan kaedah mudah untuk mambayar saman.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman akan melancarkan kempen bayaran saman secara dalam talian atau e-bayar menerusi kempen yang diadakan pada 25 hingga 29 Mac ini.

Pengarahnya, Deputi Komisioner Datuk Azizman Alias berkata, kempen itu bertujuan menggalakkan orang ramai membayar saman masing-masing menerusi dalam talian.

“Kita melancarkan kempen bayar saman secara e-payment sempena Hari Polis Ke-213 selama lima hari bermula Rabu ini.

“Ia bertujuan untuk memudahkan orang ramai menyelesaikan saman mereka atas talian memandangkan kaunter pembayaran saman di semua ibu pejabat polis ditutup di seluruh negara sejak 18 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kempen berkenaan juga merupakan langkah untuk menggalakkan orang ramai mematuhi PKP.

“Sebagai langkah meringankan beban yang ditanggung oleh masyarakat, PDRM menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bagi saman tertentu dengan pembayaran secara e-payment.

“Pembayaran e-bayar itu boleh dilakukan melalui portal di laman web www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my mulai 25 Mac ini,” katanya. – MalaysiaGazette