Anggota Polis dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia membuat sekatan jalan raya dalam Ops Covid-19 pada hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Highway Guthrie, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 22 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Kesedaran orang ramai semakin meningkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam selepas pematuhannya naik dua peratus kepada 92 peratus.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia berjaya dicapai hasil kerjasama bersepadu antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang juga bermula semalam.

Jelas beliau, sebanyak 1,903 sekatan jalan raya telah dilaksanakan iaitu peningkatan sebanyak 98 peratus daripada sebelumnya.

“Inilah kesan kerjasama di antara PDRM dan ATM. Sebanyak 120,615 kenderaan telah diperiksa dan pemandu diberi nasihat kerana masih ada yang keluar dan pihak PDRM telah membuat 1,917 hebahan di seluruh negara.

“Bermakna masih lagi ada yang di kalangan rakyat kita yang keluar dari rumah dan gagal mematuhi arahan larangan yang dikeluarkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail yang juga menteri kanan menambah, kerajaan selepas ini akan turut memberi penekanan kepada penjarakan sosial satu meter yang dikesan masih gagal dipatuhi ramai rakyat negara ini.

“Semalam saya berada di pasaraya, orang masih berhimpit sewaktu bayar dan tidak mengamal jarak satu meter. Jadi kerajaan menyeru dan berharap orang patuh ketika keluar membeli barang keperluan.

“Bermula hari ini, bahagian penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan membantu dalam penjarakkan sosial ini di pasar basah,” katanya.

Sementara itu, Ismail menegaskan pelaksanaan pergerakan dari satu negeri ke satu negeri, daerah atau bandar masih diteruskan.

Bagaimanapun jelas, kebenaran hanya diberikan jika berlaku kematian dan kemalangan yang melibat ahli keluarga rapat dan perlu melaporkan di balai polis. – MalaysiaGazette