Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Langkah itu, pada Pas amat bertepatan ketika sebahagian rakyat terbelenggu dengan perbelanjaan kos sara hidup harian terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, golongan berpendapatan harian paling terkesan terutamanya B40.

Begitu juga peniaga atau usahawan kecil apabila aktiviti perniagaan mereka terhenti, tetapi pada masa sama terpaksa membayar sewa premis dan gaji pekerja.

“Ini termasuk rakyat yang terlibat ‘gig economy’ seperti pemandu teksi e-hailing, penghantar makanan dan seumpamanya turut terjejas,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kamaruzaman berkata, Pas turut menyambut baik beberapa kerajaan negeri yang turut mengumumkan inisiatif membantu rakyat seperti langkah mengecualikan sewa bulanan terhadap premis perniagaan dimiliki kerajaan.

Katanya, langkah menangguhkan bayaran sewa bagi rumah PPRT dan beberapa insentif lagi seperti dilaksanakan Terengganu dan Kelantan patut dicontohi negeri lain.

“Usaha ini dapat melegakan rakyat walaupun kerajaan negeri sendiri berhadapan dengan risiko pengurangan pendapatan akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia ke paras paling rendah.

“Pas merakamkan ucapan tahniah kepada institusi zakat, badan korporat, badan bukan kerajaan serta individu yang turut serta membantu meringankan beban rakyat.

“Di sebalik usaha Kerajaan Persekutuan menangani wabak pandemik Covid-19 yang begitu serius, Pas kesal kerana masih ada lagi segelintir rakyat yang engkar Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat seharusnya mematuhi arahan dan peraturan yang telah dibuat oleh kerajaan untuk menjamin keselamatan semua pihak. – MalaysiaGazette