Mohamad Azlin Mohd Nadzri

KUALA LUMLUR – Masalah pembayaran gaji pemain dalam masa terdekat ini tidak timbul  biarpun Liga Malaysia terpaksa ditunda buat sementara waktu akibat penularan wabak COVID-19.

Perak antara pasukan yang memberi jaminan itu dan disahkan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri.

Beliau berkata kantung pasukan itu masih di tahap terbaik dan dijamin tidak akan berdepan masalah tunggakan gaji.

Malah, beliau sedikit hairan kenapa nama pasukan Perak dikaitkan akan berdepan masalah dalam pembayaran gaji pemain selain menafikan ketiadaan jualan tiket boleh menjejaskan pendapatan pasukan.

“Setakat ini kedudukan kewangan pasukan masih macam biasa malah dana yang kami miliki mencukupi sehingga penghujung musim ini dan tiada isu gaji pemain akan terjejas.

“Saya tidak tahu dari mana sumber mengatakan Perak akan jadi salah satu pasukan yang terjejas ekoran liga ditunda memandangkan tiada duit kutipan tiket dan penarikan penajaan.

“Ketiadaan pendapatan daripada jualan tiket tidaklah memberi kesan besar kepada kewangan pasukan ekoran liga terpaksa ditangguh kerana COVID-19 kerana kami sudah dibantu oleh banyak sumber tajaan.

“Cuma andai kata kalau liga ini terpaksa dilanjutkan ke bulan Disember atau Januari, perkara itu mungkin ada bagi kesan dan kami kena fikirkan cara terbaik mendapatkan bajet tambahan, ” katanya.

Liga Malaysia ketika ini telah ditunda aksinya sejak 16 Mac lalu bermula daripada aksi pusingan kedua Shopee Piala FA yang sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 Mac lalu.

Semua pasukan juga tidak dibenarkan melakukan sebarang latihan sehingga 31 Mac sepertimana diputuskan Kerajaan Malaysia untuk kekal berada di rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan. – MalaysiaGazette