Pengerusi Ukhuwah, Norhaslinda Zakaria (kanan) menyampaikan sumbangan di Perak baru-baru ini.

IPOH – Biarpun terpaksa menempuh empat sekatan jalan raya pasukan keselamatan, namun ia bukan halangan untuk menyempurnakan amanah menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Kesukaran kecil itu antara cabaran yang dihadapi oleh sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Masyarakat Prihatin Perak (Ukhuwah) semasa melakukan kerja-kerja kebajikan itu kelmarin.

Antara lokasi bantuan ialah di Lekir, Manjung, Kayan dan Pulau Pangkor.

Ukhuwah merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak melaksanakan program kebajikan khususnya membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Sebanyak 50 keluarga menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian seperti beras, gula, telur, minyak, tepung, susu, sardin dan biskut.

Pengerusi Ukhuwah, Norhaslinda Zakaria berkata, sumbangan adalah hasil sumbangan daripada persendirian dan orang ramai untuk diagihkan kepada penerima.

“Kebanyakan penerima hanya bekerja sendiri seperti menoreh getah, nelayan pembantu kedai dan berniaga kuih dengan pendapatan tidak seberapa selain warga emas.

“Malah, penerima juga mempunyai tanggungan untuk menyara keluarga dalam serba kekurangan hingga memerlukan perhatian pihak yang bermurah hati,” katanya.

Menurut Norhaslinda, pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini menyebabkan tugas menghantar sumbangan itu sukar kerana tidak boleh melibatkan ramai sukarelawan.

Katanya, untuk misi penghantaran tersebut melibatkan dua buah kenderaan sahaja iaitu untuk ke Manjung dan Pulau Pangkor manakala muatan barang-barang pula terhad.

“Kita juga berterima kasih kepada pihak polis yang bertugas kerana memberi kelonggaran untuk sukarelawan Ukhuwah menyempurnakan misi,” ujarnya.

Tambah Norhaslinda, pihak Ukhuwah juga tidak akan menghentikan agihan sumbangan seperti itu ketika ini, sebaliknya akan diteruskan ke kawasan-kawasan lain.

“Misi sumbangan ini amat bermakna kepada para penerima apatah lagi mereka memerlukan kerana hilang sumber pendapatan disebabkan tidak dapat keluar bekerja.

“Pihak Ukhuwah juga amat mengalu-alukan sumbangan daripada golongan yang bermurah agar dapat menampung kos pembelian barang dapur,” katanya.

Mereka yang ingin menyumbang bagi menjayakan misi murni ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Masyarakat Prihatin Perak (Bank Islam) bernombor 08095 01 001070 0.- MalaysiaGazette