Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Aktiviti pengantaraan kewangan dalam tempoh ini disokong oleh mudah tunai yang lebih daripada mencukupi dalam sistem perbankan.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, ia akan terus membekalkan mudah tunai harian ringgit kepada bank-bank melalui pelbagai alat di bawah operasi pasaran terbuka bank, termasuk pembelian terus sekuriti kerajaan, swap pertukaran asing, repo berbalik dan kemudahan pinjaman.

Bank Pusat juga telah mengambil langkah awalan untuk menambahkan mudah tunai, melalui pengurangan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas baru-baru ini.

Bersama-sama dengan fleksibiliti SRR tambahan yang diberikan kepada Peniaga Utama, langkah ini telah menambah kira-kira RM30 bilion mudah tunai ke dalam sistem perbankan.

Selain itu, jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem berjumlah RM160 bilion.

Daripada jumlah ini, kira-kira RM100 bilion ditempatkan di BNM.

Menurutnya, jumlah yang dipinjamkan kepada bank di bawah operasi pasaran terbuka boleh digunakan untuk memenuhi keperluan mudah tunai sistem perbankan.

”BNM akan terus memantau rapi perkembangan ini dan memastikan mudah tunai dalam sistem kewangan adalah mencukupi sepanjang masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Bank Pusat itu, sistem perbankan negara berada pada kedudukan yang kukuh ketika berdepan kesemua cabaran tersebut kerana terdapat penampan modal lebihan yang melebihi paras minimum pengawal seliaan sebanyak RM119.7 bilion pada akhir Januari 2020.

Bagi membolehkan institusi perbankan menyokong keperluan pelanggan mereka serta mengurus secara proaktif risiko yang berbangkit daripada perkembangan semasa, BNM telah mengkaji semula pelan aktiviti pengawalan dan penyeliaannya bagi tahun 2020 untuk memudahkan pematuhan dan meringankan beban operasi institusi perbankan.

Sebagai sebahagian daripada kajian semula ini, inisiatif dasar dan penyeliaan akan ditumpukan semula pada pemantauan dan respons terhadap perkembangan risiko serta memastikan institusi perbankan akan terus menjadi salah satu tunjang kepada ekonomi negara.

Sehubungan itu, institusi perbankan akan dibenarkan untuk menggunakan penampan modal dan penampan mudah tunai mereka yang terkumpul sejak sekian lama bagi menyokong kegiatan pemberian pinjaman.

Katanya, bagi tujuan ini, institusi perbankan boleh menggunakan penampan modal mereka sebanyak 2.5%, serta beroperasi di bawah paras purata nisbah perlindungan minimum mudah tunai pada 100% dan menggunakan rizab pengawalseliaan yang dikumpulkan semasa tempoh pertumbuhan pinjaman kukuh.

BNM turut menjangkakan institusi perbankan akan mengembalikan semula penampan mereka kepada paras yang baik dalam tempoh yang wajar selepas 31 Disember 2020.

Pelaksanaan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih (NSFR) yang dirancang untuk dimulakan pada 1 Julai 2020 akan diteruskan.

Bagaimanapun, paras minimum NSFR akan diturunkan kepada 80% dan institusi perbankan dikehendaki mematuhi keperluan 100% bermula dari 30 September 2021.

Bank Negara Malaysia akan melanjutkan tempoh masa bagi semua rundingan kertas perbincangan yang sedang berjalan dan draf dedahan sehingga 30 Jun 2020 dan selanjutnya.

Institusi perbankan juga diberikan fleksibiliti terhadap tarikh penghantaran laporan pengawalan mereka untuk mengambil kira usaha yang diambil Kerajaan untuk membendung penularan Covid-19.

”Dengan semua fleksibiliti yang diberikan dan sistem perbankan terus berdaya tahan, hasil sokongan amalan pengurusan risiko dan kehematan yang teguh, institusi perbankan di negara ini berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengambil langkah tindak balas yang selaras dengan keperluan negara dalam tempoh yang mencabar ini.

”Fleksibiliti ini merupakan sebahagian daripada langkah baharu yang akan disediakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua 2020, untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh individu dan sektor perniagaan yang terjejas akibat wabak COVID-19, selain mengekalkan pekerja dan memastikan kelangsungan perniagaan yang berdaya maju,” ujarnya. – MalaysiaGazette