Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan ke atas keluaran cellulose fibre reinforced cement flat dan pattern sheet.

Kerajaan juga secara khususnya mengecualikan external roofing yang diimport dari Indonesia iaitu PT Etex Building Performance Indonesia sebanyak 9.14 peratus manakala yang lain-lain sebanyak 108.1 peratus.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataan berkata, kutipan duti anti-lambakan ke atas dagangan subjek ini akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia selama lima tahun mulai 21 Mac 2020 hingga 20 Mac 2025.

Pengenaan duti anti-lambakan terhadap import dagangan subjek dari Indonesia dijangka menangani isu amalan perdagangan yang tidak adil.

“Pada 26 Julai 2019, Kerajaan Malaysia telah memulakan penyiasatan susulan dari petisyen yang difailkan oleh UAC Berhad, bagi pihak pengeluar Cellulose Fibre Reinforced Cement Flat dan Pattern Sheet (dagangan subjek) selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti- Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994.

“Pempetisyen mendakwa pengimportan dagangan subjek dari Republik Indonesia (Indonesia) berkenaan dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di Indonesia dan telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia,” katanya.

Tambah MITI, pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan- persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit Penentuan Muktamad dengan membuat permohonan bertulis kepada:

Pengarah

Seksyen Amalan Perdagangan

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Aras 9, Menara MITI

No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah 50480 Kuala Lumpur.- MalaysiaGazette