KUALA LUMPUR – Pemain tengah import Melaka, Romel Morales mengakui agak sukar untuk berjauhan daripda keluarga tersayang pada saat getir dengan penularan wabak COVID-19, apatah lagi saingan Liga Malaysia juga masih ditangguhkan.

Jelas Morales, dia bukan sahaja rindukan keluarga malah turut risaukan keadaan mereka yang berada di Colombia ketika ini sambil mengharapkan semua berada dalam keadaan sihat.

Bagaimanapun, bekas tonggak utama PKNS FC ini memahami garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Malaysian Football League (MFL) yang mana salah satunya adalah tidak membenarkan pemain import ke luar negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini hanya kekal berada di Melaka bersama rakan sepasukan lain.

“Saya rasa apa yang telah diperintahkan oleh pihak Kerajaan Malaysia sekarang adalah betul demi kebaikan semua pihak untuk kita tidak keluar ke mana-mana dan duduk di rumah dalam tempoh ini.

“Kesihatan menjadi perkara paling penting sekarang dan tugas kita adalah untuk menjaga kesihatan dan mengambil berat mengenai orang lain juga.

“Untuk itu, saya terima apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga walaupun sebenarnya memang sangat sukar tidak dapat bersama mereka dalam keadaan membimbangkan sekarang.

“Tetapi, saya kuat demi mereka dan memang sekarang hanya berada di rumah sahaja selain berharap semuanya akan kembali pulih dengan segera”, katanya.

Mengenai hukuman pemotongan tiga mata yang dialami oleh pasukan Melaka, sudah pasti ia memberi kekecewaan kepada seluruh pasukan dan peminat, ujar beliau.

Namun, perjuangan harus diteruskan dan pemain berusia 23 tahun itu tidak menafikan begitu rindu untuk beraksi di padang selepas seminggu saingan Liga Malaysia ditangguhkan bermula Isnin lepas dan lebih merisaukan apabila kini tidak dibenar melakukan latihan dan sebarang aktiviti luar.

“Saya rasa kalau kita semua melakukan apa yang sepatutnya, semua akan kembali normal dalam masa terdekat.

“Apa yang perlu kita buat adalah bersabar dan jaga kecergasan selain tetap berusaha keras untuk pasukan kembali bangkit selepas ini.

“Saya tidak akan berputus asa dan memang rindu sebenarnya nak beraksi, tetapi kesihatan perlu didahulukan sekarang”, tambahnya.

Morales merupakan sandaran utama skuad Melaka apabila berjaya membuktikan kemampuannya dengan menjadi penjaring terbanyak pasukan bersama Uche Agba dengan dua gol dalam empat perlawanan CIMB Liga Super setakat ini.

Melaka kini menduduki tangga ketiga liga selepas berdepan hukuman pemotongan tiga mata kerana gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapka. – MalaysiaGazette