Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media khas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 25 MAC 2020

PUTRAJAYA – Kabinet telah meluluskan peruntukan inisiatif Wilayah Cakna yang berjumlah RM63.6 juta bagi menguruskan impak penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) ke atas warga Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif itu bertujuan menyelaraskan pengagihan bantuan dalam bentuk makanan, barang, pembayaran pengecualian dan wang tunai kepada golongan miskin bandar, peniaga kecil dan penjaja serta pekerja gaji harian selain menghargai petugas kesihatan dan petugas penguatkuasaan PKP.

Jelas beliau, Wilayah Cakna itu merupakan inisiatif hasil penyelarasan maklumat dan tindakan melalui Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri WP dan Pusat Pengurusan Krisis (CMC).

“Sukacita dimaklumkan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah mengesahkan inisiatif Wilayah Cakna dengan jumlah keseluruhan peruntukan adalah RM63.6 juta.

“Sebahagian besar daripadanya iaitu RM54.3 juta adalah untuk membantu warga Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada golongan miskin bandar, golongan B40, pelajar, bumiputera, peniaga kecil dan penjaja.

“RM5.9 juta pula diperuntukkan untuk membantu Petugas Barisan Hadapan yang terdiri daripada pegawai perubatan dan persatuan PKP.

“Selain itu, sejumlah RM3.4 juta adalah untuk membantu pesakit, pesakit di bawah pemantauan (PUI) dan mangsa Covid-19,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Annuar menambah, antara bantuan lain yang diberikan menerusi Wilayah Cakna adalah bayaran pengecualian sewa kepada 40,000 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam berjumlah RM4.96 juta.

Jelasnya, Zakat Khas berjumlah RM500 turut diberikan bagi setiap keluarga kepada 24,196 keluarga sebanyak RM12.1 juta.

“Bantuan One-Off (sekali bayar) berjumlah RM500 juga disediakan kepada peniaga kecil dan penjaja berjumlah RM11.8 juta selain Bantuan Kewangan dan Elaun Khas kepada Petugas Barisan Hadapan berjumlah RM5.4 juta,” katanya.

Annuar memberitahu, keputusan kerajaan meluluskan peruntukan yang besar itu membuktikan rakyat tetap menjadi tumpuan walaupun negara menghadapi kedudukan ekonomi dan kewangan yang begitu mencabar.

“Kerajaan amat prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh rakyat, terutama golongan miskin bandar dan pegawai yang setiap hari menyabung nyawa membantu pesakit dan memerangi wabak COvid-19.

“Kami berharap semua rakyat Malaysia bersatu hati dalam perang terhadap Covid-19 dan mematuhi segala arahan sepanjang tempoh PKP.

“Dengan kesatuan dan berkat usaha semua pihak, penularan wabak ini segera berakhir dan kita dapat segera bangkit memulihkan negara,” katanya. – MalaysiaGazette