Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 25 MAC 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan empat lagi kematian akibat wabak Covid-19 dua daripadanya telah diumumkan menerusi Facebook malam tadi dan hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kematian pertama hari ini melibatkan kes kematian ke-20 yang merupakan kes ke-780, lelaki warganegara Malaysia berumur 76 tahun.

“Beliau merupakan peserta perhimpunan di Seri Petaling dan dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan mulai 18 Mac. Beliau disahkan meninggal dunia pada 25 Mac lalu, jam 4.35 petang,” katanya dalam sidang media di KKM, hari ini.

Kematian kedua melibatkan kes ke-1588 yang membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun.

Mangsa adalah peserta perhimpunan di Seri Petaling dan telah dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 23 Mac lalu.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020, jam 4.00 pagi.

“Kes kematian ke-22 merupakan kes ke-1797, lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik.

“Beliau juga telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan juga mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 yang menghadiri perhimpunan yang sama.

“Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor dan disahkan meninggal dunia pada 23 Mac 2020, jam 8.15 malam,” katanya.

Kes ke-23 pula melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun daripada Kajang.

Mangsa mempunyai latar belakang penyakit kronik dan telah dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak mulai 23 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 25 Mac 2020, jam 12.37 tengah hari.

“Kes kematian ke 23 masih dalam siasatan sekiranya mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster Covid-19,” jelas Noor Hisham lagi.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 235 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini, berbanding 172 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,031 kes.

Noor Hisham turut memaklumkan, terdapat 16 kes yang pulih dan dibenarkan pulang dan menjadikan kes yang pulih adalah sebanyak 215 kes.

“Sehingga kini seramai 45 kes positif Covid sedang dirawat di unit rawatan rapi dan daripada jumlah itu 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.