Orang ramai membeli keperluan asas masakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 pada hari ke 7 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Basah Ampang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 24 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Jumlah terkini Tabung Sumbangan Covid-19  telah mencecah RM8.129 juta, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, 70 peratus daripadanya akan digunakan untuk membantu rakyat yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya golongan miskin yang memerlukan.

Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, jelasnya, akan bertanggungjawab mengagihkan bantuan dalam bentuk bekalan makanan kepada rakyat dan yang memenuhi syarat.

“70 peratus akan digunakan pada peringkat awal sebanyak RM5.68 juta untuk membantu rakyat yang terkesan terutama yang miskin akibat daripada PKP.

” Ini akan diumumkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita sendiri,” katanya ketika sidang media harian mengenai langkah kerajaan dalam usaha mengekang wabak Covid-19.

Ismail turut memaklumkan perkembangan terkini tentang pemberian topeng muka daripada kerajaan secara percuma bakal dinikmati oleh 8.63 juta isi rumah.

Tambah beliau kerajaan akan mengedarkannya secara berperingkat dalam waktu terdekat menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan daerah.

Beliau turut menegaskan topeng muka yang diimport adalah hasil pembelian kerajaan daripada negara luar, bukannya percuma seperti yang didakwa.

“Kini kita sedang menunggu topeng muka tersebut daripada negara yang kita import apabila sampai dalam waktu terdekat kita akan edarkan secara berperingkat melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan daerah-daerah.

“Sekali lagi saya jelaskan ia bukan percuma. Kerajaan bayar. Bukan seperti yang dihebohkan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette