Lautaro Martinez menjadi buruan Barcelona sehingga kelab gergasi La Liga Sepanyol itu sedia mengorbankan lima pemain bintang kepada kelab Serie A demi mengikat khidmat Martinez

ROM – Barcelona bersedia kehilangan lima pemain sensasi demi mendapatkan pemain Inter Milan, Lautaro Martinez.

Laporan di Itali mendakwa the Catalans kini mempertimbangkan untuk melepaskan beberapa bintang pasukan itu demi mengurangkan beban pembayaran gaji pemain di kelab tersebut, khususnya dalam keadaan ekonomi tidak menentu berikutan penularan Covid-19.

Barcelona didakwa bersedia melepaskan Arturo Vidal, Arthur Melo, Jean Clair Tobido, Carles Alena dan Nelson Semedo kepada Inter Milan bagi mengikat seorang pemain dari kelab tersebut yang dilihat sangat berbakat.

Barcelona dikaitkan dengan Martinez sejak beberapa bulan lalu dan berpendapat pemain itu merupakan pengganti paling sesuai untuk Luis Suarez.

Laporan terkini mencadangkan bahawa Martinez sudah bersetuju untuk memeterai kontrak untuk ke Nou Camp.

Bagaimanapun Inter dilaporkan hanya bersedia berurusan secara tunai dan akan menolak urusan yang tidak memenuhi klausa pelepasan berjumlah £103 juta pound yang ditetapkan ke atas Martinez. – MalaysiaGazette