Datuk Seri Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
KUALA LUMPUR – Pengalaman berharga yang diharungi Malaysia sebelum ini yang pernah diuji dengan pelbagai cabaran daripada kemelesetan ekonomi, wabak penyakit sehinggalah krisis makanan telah membolehkan negara merangka pelbagai strategi mantap dalam menstabilkan kembali serta mengukuhkan ekonomi.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata rakyat perlu memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan jentera kerajaan yang kini bertungkus lumus memerangi penularan pandemik Covid-19 yang mencengkam rakyat dan ekonomi negara.

“Ini bukan kali pertama negara kita dicabar (krisis) dan terbukti kita mampu. Kita ada kerajaan yang cekap, sistem pentadbiran yang baik dan kalau kita tumpu sepenuh hati kepada usaha untuk memulihkan negara kita, InsyaAllah kita akan mengembalikan kegemilangan negara.

“Dan apabila berakhirnya tempoh Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), kita akan menjadi sebuah negara maju,” katanya.

Mustapa berkata demikian semasa Program Bicara Naratif Majlis Tindakan Ekonomi: Mencorak Landskap Ekonomi Rakyat yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam tadi.

“Kita bertuah walaupun kerajaan baharu, perdana menteri mempunyai lebih 40 tahun pengalaman sebagai seorang ahli politik dari timbalan menteri, menteri besar serta pernah menerajui pelbagai kementerian seperti pendidikan, pertanian, perdagangan antarabangsa dan industri serta dalam negeri.

“Jadi, walaupun beliau baru menjadi perdana menteri kita bertuah dan bersyukur kerana dipimpin oleh seorang yang cukup matang dan luas pengetahuan tentang pentadbiran negara termasuklah hal-hal ekonomi,” katanya.

Mustapa berkata pemulihan ekonomi akibat daripada Covid-19 akan mengambil masa yang panjang ekoran kesannya terhadap pelbagai sektor terutamanya pelancongan dan pekerjaan.

“Dan kita perlu menerima hakikat kesannya cukup besar dan masalah ini kalau kita lihat negara kita, semasa pembentangan belanjawan ekonomi negara diunjur berkembang antara 4.3 peratus ke 4.5 peratus pada 2020, tetapi kita sedia maklum bahawa ia tidak akan tercapai.

“Harga minyak dunia sudah merundum sehingga berlegar antara US$27 dan US$28 setong berbanding unjuran dalam belanjawan iaitu AS$62 setong,” katanya,

Justeru, katanya, cabaran yang perlu diatasi kerajaan bukan hanya untuk menangani Covid-19 tetapi juga penurunan nilai ringgit yang berlegar pada paras RM4.40 berbanding dolar AS, kelemahan indeks Bursa Malaysia yang jatuh di bawah paras 1,300 mata selain syarikat-syarikat yang terpaksa menghentikan operasi perniagaan mereka ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, penguatkuasaan PKP yang bertujuan membendung penularan wabak tersebut turut menyebabkan akyat terutamanya golongan B40 terkesan.

“Umpamanya mereka yang menerima gaji hari, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, yang meniaga di tepi jalan dan pasar malam syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan begitu juga syarikat besar,” kata Mustapa.

Oleh yang demikian, beliau berharap pakej rangsangan ekonomi menyeluruh yang akan diumum esok (Jumaat) akan melibatkan bantuan tunai bagi memastikan rakyat mampu mendapatkan keperluan asas.

“Saya yakin bahawa pada Jumaat akan diumumkan pakej yang komprehensif dan tiada yang terlepas pandang,” tambahnya.

Kerajaan Pakatan Nasional telahpun mengumumkan tiga pakej rangsangan pada 16 Mac, 23 Mac dan 25 Mac lepas untuk menggerakkan ekonomi dan membantu rakyat mengharungi impak COVID-19.

Sebelum itu, pada Februari lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM20 bilion.

“Seperti yang perdana menteri tekankan, ‘setiap hari perlu ada makanan di atas meja’, maknanya nak pastikan rakyat Malaysia ada akses kepada makanan. Jadi akses ini ada dua, yang pertama bekalan dan keduannya pendapatan.

“Jadi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bertanggungjawab memastikan perkara ini tidak tergendala dan kita harap ini akan dapat dilaksanakan dengan baik dan dari sudut bagi memastikan rakyat mempunyai pendapatan, untuk meneruskan hidup sudah pasti ini akan diumumkan tidak lama lagi,” kata Mustapa.

Selain kerajaan pusat, katanya, kerajaan negeri lain turut mengambil inisiatif melancarkan pakej bantuan seperti Sarawak (RM1.15 bilion), Sabah (RM670 juta), Selangor (RM127 juta).

Pusat-pusat zakat negeri, pihak swasta dan individu turut tampil memberi sumbangan dalam bentuk tunai, peralatan perubatan dan bantuan kepada rakyat serta pasukan barisan hadapan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.