Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap semasa sidang media selepas menerima rombongan MCA di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Penamatan khidmat Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bukannya pemecatan, sebaliknya ia adalah penyusunan semula MPP untuk menepati dasar penugasan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, secara keseluruhannya laporan yang diterimanya menunjukkan sebahagian besar daripada mereka tidak aktif.

Malah, katanya, aktivitinya tidak dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan.

“Mereka kesal dan tidak setuju dengan penamatan perkhidmatan MPP di Wilayah Persekutuan dan saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya dengan pandangan rasional mereka,.

“Saya cuma nak jelaskan bahawa itu bukan penamatan. Sebenarnya apa yang nak lakukan adalah penyusunan semula dan saya sedar MPP penting pada saat getir yang kita sedang lalui sekarang yang mana sebahagian MPP sibuk membantu rakyat di wilayah saya tidak nafikannya,” katanya

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas dakwaan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan mengenai penamatan perkhidmatan MPP di 10 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

Mereka yang menyifatkan tindakan itu kejam dan tidak sepatutnya berlaku berkata, tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan itu adalah tidak wajar ketika rakyat khususnya warga ibu kota berdepan dengan penularan Covid-19.

Menurut Annuar, lebih separuh daripada MPP tidak pernah menghantar laporan walaupun peruntukan yang disediakan telah mereka belanjakan.

“Mereka patut mematuhi peraturdan dan garis panduan tetapi lebih separuh daripada MPP di 13 kawasan Parlimen di bawah WPKL dan Labuan tak pernah hantar laporan sekalipun.

“Saya bila terima laporan itu, terpaksa bertindak dan membuat keputusan aktifkan kembali dengan proses penyusunan semula yang akan dilaksanakan kerana objektif pelantikan MPP dan fungsi mereka selepas ini menepati seperti yang termaktub dalam dasar dan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Untuk pulihkan dan perkasakan MPP, penyusunan semula ini perlu dibuat juga. Maka kita menamatkan dulu yang ada sekarang dan akan buat penyusunan semula dengan mengambil pandangan pelbagai pihak dalam memperbaiki kelemahan.

“Tidak lebih daripada 14 hari bermula hari ini MPP wilayah ini akan berfungsi semula,” katanya. – MalaysiaGazette

Pemimpin PH, Warisan dakwa 10 MPP Parlimen Kuala Lumpur dipecat