PUTRAJAYA – Setakat jam 12 tengah hari tadi, terdapat 88 kes positif wabak Covid-19 dikesan di daerah Kluang dengan 74 daripadanya dikesan di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid, Simpang Renggam.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengesan empat kluster di daerah itu dan ia disyaki berasal dari jemaah ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mereka mendirikan jemaah dan menjangkiti jemaah lain.

“Kemudiannya mereka menghadiri majlis perkahwinan yang terdapat di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini sambil menambah terdapat empat kematian secara tidak langsung di Kluang.

Kata beliau, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di di dua kawasan di Simpang Renggam yang berkuatkuasa sejak tengah malam tadi sehingga 9 April ini adalah bagi membendung penularan Covid-19 selain mengesan jaringan penularan.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes secara aktif dari rumah ke rumah akan dilaksanakan. Kita juga akan jalankan (kerja-kerja) nyahkuman di kawasan terbabit.

“Kementerian ketika ini telah mensasarkan 300 sampel ujian diambil setiap hari bermula hari ini. Sampel yang menjadi keutamaan pula yang telah mempunyai kontak rapat, individu bergejala, golongan berisiko tinggi,” ujarnya.

Lewat malam tadi, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan lebih ketat.

PKPD ini juga melibatkan 3,570 penduduk dari 650 buah keluarga di daerah tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kesihan .. Akibat engkar arahan. Benda boleh tangguh x nak tangguh…. Nak jugak buat . Kang ckp bodoh kang pandai marah!! Tapi memang x ada rasa tggjawab pun… Sedih dgn perangai dan pradigma mcm hampeh nih…

Comments are closed.