Lokman Noor Adam UMNO
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai Perdana Menteri yang berani mengambil risiko apabila membelanjakan duit dengan jumlah sangat besar untuk dikongsikan kepada rakyat ketika negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata, keadaan itu tidak akan berlaku sekiranya negara masih diperintah oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa pastinya memberi keutamaan untuk menyelamatkan kroni beliau berbanding rakyat.

“Apapun, kita kena ucap tahniah kepada Muhyiddin kerana berani mengambil risiko membelanjakan duit dengan jumlah yang sangat besar di kala sebahagian besar rakyat dalam keadaan sangat memerlukan.

“Terbukti sebenarnya cerita negara ada masalah kewangan sememangnya penipuan Dr. Mahathir dan Lim Guan Eng (bekas Menteri Kewangan),” dakwanya mengulas peruntukan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Prihatin berjumlah RM250 bilion yang diumumkan Muhyiddin hari ini.

Menurut Lokman yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, ketika Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU14 dua tahun lalu, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan negara ini dalam keadaan baik kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tegas beliau, pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak RM250 bilion itu jelas menunjukkan ia datang daripada penjualan aset, pinjaman, penerbitan bond, penjarahan duit Petronas dan macam-macam sumber yang PH lakukan semasa 22 bulan memerintah.

“RM250 bilion hampir pendapatan negara setahun, sedangkan pendapatan negara tinggal 1/3 untuk petroleum, pertumbuhan ekonomi merudum, kehilangan pendapatan akibat kesan kegawatan ekonomi dan kesan Covid-19.

“Pengumuman Muhyiddin hari ini menunjukkan wang yang bakal dibelanjakan bukan dari unjuran pendapatan sangat, tetapi duit yang sudah di tangan dan menjadi tanda tanya di mana ianya disimpan.

“Terima kasih Datuk Seri Najib kerana meninggalkan negara dalam keadaan baik dan membolehkan kita berhadapan dengan situasi penat sekarang,” katanya.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana banyak mendengar pandangan Najib, Tengku Razaleigh Hamzah dan mendengar suara rakyat biasa di bawah yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Katanya, belum terlambat untuk mula melakukan perkara yang betul kepada rakyat. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ya… Tahniah tsmy dan kabinet… Nampak sangat PH pembohong duit negara habis.. Sebenar nya di simpan untuk kroni dan anak cucu PH…. Syukur Atuk dan PH tumbang lebih awal

Comments are closed.