Harris Harun

KUALA LUMPUR – Tatkala industri bola sepak negara turut terkesan dengan krisis penularan wabak COVID-19, barisan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) masih bersedia menyumbangkan sebahagaian daripada pendapatan mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor.

Langkah itu bertujuan membantu kerajaan negeri Johor meringankan beban mereka yang terjejas berikutan penularan wabak penyakit berjangkit itu di negeri berkenaan, demikian menurut ketua pasukan JDT Harris Harun dalam kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers.

Kata pemain kebangsaan Singapura itu, setiap individu perlu memainkan peranan dan berganding bahu dalam menghadapi tempoh mencabar ini.

“Saya berharap sumbangan kami dapat membantu banyak pihak dan saya menyeru agar ramai lagi tampil ke hadapan dan melakukan apa jua bentuk sumbangan bagi membantu kita semua mengharungi episod gelap ini,” katanya.

Inisiatif barisan pemain JDT itu bukan satu perkara baharu, malah ia turut menjadi tradisi pasukan gergasi dunia dan sesetengah bintang bola sepak terkemuka yang menyumbang kepada masyarakat dalam tempoh sukar ini.

Bintang Portugal dan Juventus, Cristiano Ronaldo serta ejennya Jorge Mendes menyalurkan bantuan dana bagi mewujudkan dua wad unit rawatan rapi (ICU) bersama 10 katil kepada Hospital Universiti Lisbon Utara (CHULN) dan satu lagi wad ICU di Hospital Santo Antonio.

Penyerang Barcelona, Lionel Messi dan pengendali Manchester City Pep Guardiola, masing-masing turut menyumbangkan 1 juta euro (RM4.725 juta) bagi usaha menangani pandemik COVID-19.

Beberapa pasukan Liga Perdana Inggeris, antaranya Arsenal dan Watford turut memainkan peranan dengan menyumbangkan dana dan bekerjasama rapat dengan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England, dalam menangani wabak COVID-19.- BERNAMA