Prof. Dr. Aluwi Sari

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi perlu melaksanakan pelan tindakan awal bagi mengatasi masalah pendaftaran dan pengambilan pelajar baharu untuk tahun 2020/2021.

Pengerusi Biro Pendidikan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Aluwi Sari berkata, pelan itu sekurang-kurangnya dapat meredakan kebimbangan lepasan SPM, STPM dan STAM berhubung permohonan mereka untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau menjelaskan, tujuan pelan tindakan awal itu adalah untuk membantu dan menggalakkan pelajar berkenaan belajar di IPT di negeri kelahiran dan tempat tinggal mereka.

“Biro Pendidikan Putra berpendapat pelan ini kelak sedikit sebanyak dapat membantu dan memudahkan ibu bapa atau penjaga untuk menghantar anak mereka belajar dalam bidang diminati.

“Dengan cara ini juga ibu bapa atau penjaga dapat menjimatkan belanja dan kos perjalanan kecuali bidang dimohon itu tidak terdapat di IPT di negeri tersebut. Mereka boleh memohon di IPT yang mempunyai program atau bidang yang ada.

“Persiapan untuk pendaftaran dan pengambilan pelajar baharu bagi setiap IPT awam mahupun swasta ini biasanya bermula pertengahan Mac dan April setiap tahun,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan negara ini dan seluruh dunia berdepan dengan penularan wabak virus Covid-19, maka pengambilan bagi tahun 2020/2021 ini terjejas.

Ujar beliau, sekiranya wabak itu berlanjutan dan berpanjangan, maka pengambilan dan pendaftaran ini akan tergendala atau ditangguhkan sehingga wabak Covid-19 pulih sepenuhnya.

“Ini akan mengambil masa lama dan kemungkinan menjejaskan kewangan IPT tersebut terutamanya milik swasta atau semi kerajaan.

“Kita mohon Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan membuat kajian dan pendekatan terbaik bagaimana untuk mengatasi dan membantu IPT yang akan terjejas dengan pengambilan pelajar baharu ini.

“Membantu dari segi kewangan untuk pengurusan operasi pentadbiran IPT tersebut,” katanya yang turut mencadangkan kerajaan mewujudkan Dana Bencana Wabak Covid-19.

Kata Dr. Aluwi, sekiranya kerajaan atau Kementerian Pengajian Tinggi tidak mengambil langkah dan tindakan awal membantu kemungkinan banyak IPT dalam negara ini akan tutup kerana tidak mempunyai pelajar dan dana kewangan mencukupi untuk menampung kos operasi.

“Sekiranya IPT ini tidak dibantu, ramai kakitangan akan diberhentikan, malah pelajar yang sedang belajar juga akan terjejas untuk menamatkan pengajiannya.

“Dengan kata lain, kita mohon kerajaan dan Kementerian Kewangan dapat mengecualikan cukai perniagaan kepada seluruh IPT yang bakal terjejas dengan pengambilan pelajar bagi tahun 2020/2021 ini,” katanya. – MalaysiaGazette