Gambar Hiasan. foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion kepada Dana Jaminan Makanan, selain menyalurkan pelbagai bantuan kepada petani, penternak dan nelayan termasuk dalam bentuk bantuan input pertanian, ternakan dan perikanan untuk menggalakkan pengeluaran domestik.

Kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menyediakan kemudahan infrastruktur tempat penyimpanan dan pengagihan makanan serta program integrasi tanaman.

Sebagai langkah tambahan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menyediakan dana khas antara RM100,000 hingga RM200,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan dan Pertubuhan Nelayan Kawasan yang berdaya maju untuk membangunkan projek agromakanan jangka pendek yang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh 3 hingga 6 bulan.

Langkah ini, katanya, melibatkan peruntukan sebanyak RM64.4 juta untuk memastikan bekalan makanan terjamin

Kerajaan juga akan memperkenalkan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja.

”Dalam keadaan yang sukar ini, saya tidak mahu lihat pekerja dibuang kerja dan hilang pendapatan. Menerusi program ini kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan.

”Program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari 2020,” katanya.

Menurutnya, majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti
tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan.

Selain itu, majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji sedia ada pekerja.

Langkah ini dijangka memanfaatkan 3.3 juta orang pekerja dengan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion, ujarnya. – MalaysiaGazette