Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan yang mahu menghulurkan sumbangan berupa makanan atau apa sahaja keperluan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh berbuat demikian di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat di setiap daerah.

Tindakan itu bertujuan mengehadkan pergerakan orang ramai atau NGO yang sebelum ini menghantar sendiri sumbangan masing-masing ke tempat-tempat seperti hospital, balai polis dan juga lokasi sekatan jalan raya.

Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sememangnya mengalu-alukan keprihatinan rakyat Malaysia namun langkah perlu diambil untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Pejabat JKM di daerah-daerah akan digunakan sebagai pusat pengumpulan dan bahan makanan hendak dibekalkan penduduk setempat,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Tambah beliau, penghantaran makanan yang dikumpul di pusat JKM di setiap daerah itu akan diuruskam oleh JKM menerusi bantuan anggota beruniform.

“Penghantaran makanan itu kepada rakyat yang berada di rumah dan pegawi yang bertugas di lapangan pula akan dilaksanakan oleh anggota Rela dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Kita mahu elak terlalu banyak pergerakan berlaku sebagai langkah menghindar kesan kepada rakyat.

“Walaupunn mengalukan sumbangan NGO, pada masa sama harus memastikan peraturan dipatuhi sentiasa,” tegasnya.-MalaysiaGazette