Foto hiasan

Penulis percaya, ramai dalam kalangan kita yang berada dalam keadaan gusar, gundah-gulana dan terpinga-pinga. Apa lagi yang harus kita buat untuk mengekang wabak Covid-19?

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telahpun kita patuhi, dari sekecil-kecil perniagaan sehingga perniagaan berskala besar juga sudah menggantung seketika operasi, petugas kesihatan pula siang dan malam bekerja bertungkus-lumus tanpa henti.

Bukan itu sahaja, bahkan anggota keselamatan juga diheret sekali. Terbaru, anggota tentera juga telah dikerah untuk membantu mengawal pergerakan dalam negara. Kita sebagai rakyat Malaysia yang penuh dengan rasa tanggungjawab haruslah kekal berada di rumah supaya tidak membebankan lagi tugas mereka.

Keresahan dalam kalangan kita semua tidak dapat disorok lagi. Peniaga kecil-kecilan di tepi jalan, peniaga pasar malam, pengusaha kedai makanan, petani dan penternak adalah antara
yang paling teruk terjejas. Bukan itu sahaja, bahkan pekerja syarikat swasta dan kerajaan turut menerima nasib yang sama.

Ada diantaranya gaji dipotong, diberi cuti tanpa gaji malah yang paling perit lagi terpaksa diberhentikan kerja. Namun, apa yang dapat dilihat sekarang, kebanyakan majikan terpaksa
memberi cuti tanpa gaji kepada pekerjanya bagi mengelak berlakunya lebih banyak kerugian.

Ketika ini, kebanyakan rakyat Malaysia masih lagi mampu bertahan. Bekalan makanan dalam negara juga masih lagi banyak. Beras, tepung, minyak masak, gula pasir dan roti masih lagi mudah diperoleh dan dijual di banyak tempat. Rakyat juga tidak perlu khuatir kerana Malaysia sendiri negara pengeluar makanan, maka bekalan makanan hampir mustahil akan
terputus.

Namun, jika wabak Covid-19 ini berlarutan dalam tempoh masa yang lama, adakah kita benar-benar bersedia untuk menghadapinya? Adakah wang simpanan yang ada sekarang ini
mampu menampung segala keperluan yang mendesak pada masa akan datang? Walaupun sudah diumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM 250 bilion, adakah pelan itu nanti mampu menahan segala kebocoran ekonomi yang berlaku?

Tiada siapa dapat jangka sampai bila wabak Covid-19 ini akan berakhir. Jika dikira-kira, sudah lebih empat bulan virus ini merebak ke serata dunia. Dan sehingga ke hari ini juga
belum ada satu pun vaksin yang dapat ditemukan untuk melawan virus ini.

Merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia), beliau menjangkakan akan berlakunya peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19 pada pertengahan bulan April 2020. Jangkaan ini merujuk kepada beberapa faktor seperti kepulangan rakyat Malaysia dari negara terjejas jangkitan, penyebaran virus daripada kontak rapat dan sikap rakyat Malaysia sendiri yang masih lagi ingkar dengan arahan pihak berkuasa.

Nasihat penulis, kepada rakyat Malaysia dan masyarakat seluruh dunia tanpa mengira perbezaan agama, teruslah berdoa supaya wabak ini segera berakhir. Inilah masanya untuk menepikan seketika perbezaan politik kerana pemulihan wabak Covid-19 adalah lebih penting. Hentikan seketika percakaran politik, perbezaan pendapat dan adalah lebih baik pihak kerajaan serta pembangkang duduk semeja berbincang kaedah terbaik untuk membantu rakyat.

Penulis percaya, ramai dalam kalangan kita berharap agar penularan wabak ini segera berakhir dan aktivit seharian berjalan seperti biasa. Kedai-kedai makan, pusat beli-belah, taman-taman rekreasi dibuka seperti biasa, masyarakat pula bebas bergerak ke mana sahaja tanpa ada rasa takut dan inilah yang kita semua impikan ketika ini.

Percayalah, kita semua dapat menempuhi situasi sukar ini dengan sebaiknya dan sedikit masa lagi semua masalah ini akan segera berakhir. Kepada rakyat Malaysia, terus kekal berada di
rumah. Ambillah pengajaran daripada beberapa negara yang rakyatnya ingkar mematuhi arahan, akhirnya membawa ‘bencana’ yang amat besar kepada negaranya.

Syahmi Minhad, pembaca MalaysiaGazette