KUALA LUMPUR – Setakat sehingga semalam, MIC di bawah kepimpinan Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran telah berjaya membawa pulang ribuan rakyat Malaysia terkandas di  India dan Bangladesh.

MIC yang juga merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) serta parti terbesar masyarakat India sejak lebih 70 tahun itu juga telah membelanjakan wang sendiri lebih sejuta ringgit dengan membawa pulang lebih 3,400 orang.

Rata-rata mereka yang di bawa pulang terdiri dalam kalangan masyarakat India yang melancong ke negara-negara itu bagi pelbagai tujuan termasuk juga para pelajar di negara tersebut.

Sehingga hari ini, jumlah paling ramai rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara adalah di India dengan jumlah paling ramai di Chennai, Tricy, New Dehli, Amritsar dan Mumbai.

Usaha oleh MIC ini juga mendapat pujian meluas khasnya Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien yang beberapa kali memberitahu secara terbuka beliau sebenarnya bersyukur apabila Vigneswaran tampil membantu.

Malah Hishammuddin turut merayu kepada yang lain-lain yang masih berada di luar negara khasnya Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) untuk pulang sahaja menggunakan duit sendiri memandangkan kos tinggi buat kerajaan.

Manakala MIC pula mengambil tanggungjawab menanggung sendiri kos tanpa membebankan kerajaan, tindakan itu juga mendapat sokongan umum khasnya dalam kalangan masyarakat India untuk menyumbang.

Selain daripada menanggung kos, hubungan diplomatik cukup baik antara negara juga diperlukan bagi memastikan proses ini berjalan lancar apatah lagi seandainya ada sekatan perjalanan telah dikeluarkan.

Selain Wisma Putra, MIC sendiri sudah mempunyai hubungan baik dengan kerajaan serta pimpinan politik khasnya di India, Bangladesh, antara yang memainkan peranan selain Vigneswaran adalah Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan juga Menteri Sumber Manusia.

Bagaimanapun, usaha murni itu mendapat kritikan segelintir pihak kononnya kerajaan seolah-olah ‘pilih kasih’ membawa pulang hanya kumpulan tertentu dan mempersoalkan kenapa MIC kena guna dana sendiri walhal ia merupakan tanggungjawab kerajaan.

Pelik sekali apabila melihat komen-komen negatif ini walhal kesemua rakyat kita di bawa pulang daripada membiarkan mereka terus menderita di negara luar lagi-lagi ketika penularan wabak Covid-19 sedang ‘menggila’ ketika ini.

Kerjasama MIC berjaya bawa pulang rakyat Malaysia terkandas di India

 

Sementara itu, penganalisis politik, Datuk M. Periasamy berkata, tidak mungkin kerajaan India mahu bekerjasama dengan membantu rakyat Malaysia yang terkandas seandainya tiada campur tangan MIC.

“PH dahulu selalu sangat beri kenyataan bercanggah dan menjatuhkan imej negara India. Berkali-kali mereka buat teguran, akhirnya berlaku pula isu boikot import eksport. Manakala MIC sememangnya sudah ada hubungan baik selama ini, hampr rata-rata pemimpin parti ini mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan sana.

“Di bawah kepimpinan Vigneswaran di bantu Saravanan serta yang lain-lain, parti ini tetap memperjuangkan nasib serta kebajikan masyarakat India selama puluhan tahun ini. Suka atau tidak, inilah realiti dan hakikatnya.

“Kini peluang kedua telah diberikan di mana kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneraju selepas tumbangnya PH, sememangnya ini adalah satu rahmat lagi-lagi ketika Covid-19 sedang tular dengan begitu cepat.

“Ini soal nyawa, bukan lagi politik. Biarkan sahaja kerajaan yang ada sekarang untuk lakukan yang terbaik untuk bantu rakyat, jangan banyak soal kerana ada sahaja pihak lain akan menggunakan peluang itu untuk terus meniup api kebencian sekali lagi.

“Ingat, apabila para pemimpin PH ini ketika berkempen PRU-14, macam-macam mereka janjikan. Apabila bukan sahaja menang tetapi bergelar Menteri dan segala macam jawatan kerajaan, tidak ada kebaikan mahupun janji dikotakan sebaliknya masih menyalahkan MIC serta BN sedangkan mereka sudah buat macam-macam dari jadi tin kosong.

“Jangan terkeliru, jangan mudah percaya dan janganlah jadi kacang lupakan kulit,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Baliklah sebelum UK dan AS ‘lockdown’ – Hishammuddin