Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati ketiga-tiga ubat yang digunakan pihaknya merawat pesakit positif Covid-19 didapati berkesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ketiga-tiga ubat berkenaan iaitu Chloroquine, Hydroxychloroquine dan kombinasi Lopinavir/ Ritonavir berkesan mengubati radang paru-paru yang dihadapi pesakit.

“Di gelombang pertama, kita gunakan tiga jenis ubat ini nampak berkesan tapi kita kena jalani penyelidikan jadi data kita akan kutip,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kesemua ubat berkenaan tidak dapat merawat sekiranya pesakit sudah ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

“Tapi kadar kematian semakin meningkat kerana pesakit kita yang berusia dan ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

“Mereka datang di peringkat yang lewat yang menyebabkan pernafasan dan juga jangkitan kuman,” jelas Noor Hisham lagi.

Katanya lagi, pesakit positif Covid-19 akan menghadapi radang di saluran pernafasan bawahan dan perkara itu boleh diubati dengan menggunakan ubat Hydroxychloroquine.

“Kalau kita lihat penyakit Covid-19 ini menyebabkan saluran pernafasan bawahan terlibat.Bila virus melekat di saluran pernafasan bawah ia akan menyebabkan inflimasi dan juga repikasi virus tersebut.

“Ini menyebabkan radang di saluran pernafasan bawahan. Ubat ini membantu kurangkan inflimasi di saluran pernafasan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiga jenis ubat rawat Covid-19 dikenal pasti, bekalan ada di Malaysia – KKM