Nasrul Ali Hasan menyantuni keluarga yang memerlukan bantuan di Gombak.

KUALA LUMPUR – Masuk hari ke-13 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai suara rungutan kedengaran terutama golongan kurang berkemampuan kehabisan bekalan makanan.

Menyedari golongan itu bukan sahaja sukar keluar dari rumah untuk membeli makanan tetapi tidak mempunyai kewangan mencukupi mendorong Pergerakan Wira Putra Malaysia turun padang membantu mereka.

Pasukan diketuai Nasrul Ali Hasan Abdul Latif itu menyantuni kira-kira 20 keluarga kurang berkemampuan di Gombak dan sekitar Wilayah Kuala Lumpur untuk menghulurkan bantuan berbentuk bekalan makanan.

Katanya, memandangkan pergerakan yang terhad akibat PKP, pihaknya mengambil masa dua hari untuk menyantuni semua penduduk yang tersenarai itu.

“Kita menyampaikan sumbangan bantuan makanan asas kepada 20 keluarga kurang berkemampuan sekitar Gombak dan Kuala Lumpur selama dua hari bermula semalam.

“Kita terpanggil menghulurkan bantuan, apabila mereka mula mengeluh tidak mampu membeli barangan makanan asasi sepanjang tempoh PKP, selain sumber kewangan yang hampir habis,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Nasrul Ali Hasan, kebanyakan mereka adalah yang berpendapatan gaji gaji harian atau bekerja sendiri dan terpaksa pula tinggal di rumah sepanjang PKP.

Ujarnya, mereka juga tidak mempunyai sumber kewangan untuk berbelanja membeli barangan keperluan kerana sudah hampir dua minggu tidak bekerja.

Justeru, atas dasar cakna dan prihatin, Wira Putra Malaysia rela turun padang membantu mereka, termasuk petugas barisan hadapan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada polis, tentera, anggota Pertahanan Awam Malaysia dan Rela yang memberi laluan kepada mereka ke destinasi menyampaikan bantuan di lokaliti masing-masing. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kwrajaan pn tak benar bagi sendiri. kena serah kepada badan khusus senang kerajaan nak agih. barulah rakyat nampak kerajaan menolong rakyat. kalau ngo yang bagi apa pula kata rakyat. pada kerajaan. nanti siapa ingkar kena tangkap lah nampaknya.

Comments are closed.