Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hadir bagi memantau operasi pembersihan disinfeksi bagi membendung penularan wabak Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 30 MAC 2020

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan syarat-syarat baharu kepada rakyat tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua mulai 1 April depan.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, syarat itu akan memperketatkan perjalanan semua rakyat di negara ini ekoran penularan Covid-19.

“Beberapa syarat yang telah diumumkan pada dua hari lepas dan hari ini akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri untuk membuat pengumuman.

“Ini adalah untuk meminimakan pergerakan orang ramai ke tempat-tempat awam. Dengan adanya syarat baharu ini rakyat akan terus bersabar kerana 14 hari sahaja lagi untuk tidak dibenarkan keluar rumah,” katanya ketika melawat proses disinfeksi di Pasar Jalan Othman, hari ini.

Justeru itu, Zuraida meminta agar orang ramai terus bersabar dengan syarat baharu itu demi kesejahteraan bersama.

Katanya lagi, semua yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah bagi mengembalikan keyakinan rakyat untuk meneruskan hidup masing-masing.

“Jadi ikut arahan ini duduk di rumah dan jangan bergerak keluar sebaik mungkin, saya berharap pada 14 hari nanti kita akan bebas daripada Covid-19 dan akan membolehkan rakyat Malaysia hidup seperti biasa.

“Ia akan memberikan keyakinan kepada rakyat untuk kembali bertugas dan hidup seperti sedia kala.

“Dengan kita dapat bersihkan kawasan-kawasan ini saya harap ekonomi negara akan kembali pulih dan disiplin rakyat Malaysia akan berlipat kali ganda,” katanya lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu berkata, kerajaan bakal menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) lebih tegas dalam pelaksanaan PKP peringkat kedua bermula 1 hingga 14 April ini.

Pelaksanaan yang lebih ketat itu diharapkan tidak akan memerlukan tempoh lanjutan PKP.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah pun diminta memperkenalkan SOP baru dengan peraturan lebih tegas berbanding dilaksanakan ketika ini. – MalaysiaGazette