KUALA LUMPUR – Isteri kepada angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha iaitu Dr. Halina Mohd. Yunos yang merupakan barisan hadapan membenteras penularan  Covid-19 mempunyai simptom pandemik itu ketika pulang dari tempat kerja semalam.

Sheikh Muszaphar berkata, isteri beliau mengkuarantin diri di dalam salah sebuah bilik di kediaman mereka selepas mengalami sakit tekak serta batuk.

Menurutnyha, situasi itu menyedihkannya apabila isterinya kini tidak lagi boleh menemui anak-anak mereka.

“Semalam beliau menakutkan kami apabila balik dari kerja dengan simptom sakit tekak dan batuk. Selepas membuat ujian swab, dia kuarantinkan dirinya di rumah di dalam sebuah bilik, sambil menunggu keputusan.

“Menyedihkan saya apabila melihatnya tidak boleh dekat dengan anak-anak. Tidak dapat bayangkan bagaimana perasaannya untuk 8 jam,” katanya menerusi laman sosial, Instagram.

Namun beliau bersyukur keputusan ujian yang dilakukan terhadap Halina adalah negatif.

Angkasawan negara itu turut berkongsi kebimbangan isterinya untuk pulang ke rumah dan berjumpa dengan anak-anak mereka kerana takut ia akan memindahkan virus dari tempat kerja.

“Saya ingat dia buat panggilan daripada hospital memaklumkan tidak tahu mahu ke mana sebab takut jika balik akan menjangkiti saya dan anak-anak. Walaupun dalam keadaan sebegitu dia masih lagi prihatin kepada orang lain. Alhamdulillah keputusannya adalah negativ (Covid-19).

“Dengan apa yang berlaku ini Halina tetap mahu bekerja hari ini. Itulah Dr Halina, bukan kerana dia isteri saya, tapi sebab dia adalah doktor yang dilatih untuk membantu orang lain, berkorban demi pesakit. Apa pun yang penting adalah selamatkan nyawa, walaupun berhadapan dengan risiko sekalipun,” tambahnya.

Menurut Sheikh Muszaphar meskipun berhadapan dengan risiko yang tinggi, Halina lagi tidak pernah putus asa untuk terus membantu pesakit Covid-19.

Malah katanya, sikap tersebut bukan hanya ada pada isterinya tetapi juga semua barusan hadapan seperti doktor dan jururawat.

“Untuk semua doktor, jururawat dan pengamal perubatan di luar sana, semoga kuat dan berani. Anda sentiasa dalam doa kami,” kata beliau. – MalaysiaGazette