Datuk Kamarudin Jaffar. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2019

KUALA LUMPUR- Setakat hari ini seramai 3,201 warga Malaysia yang terkandas di luar negara telah berjaya dibawa pulang melalui misi repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan sumbangan parti politik dan swasta.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, namun terdapat 4,374 orang rakyat Malaysia yang dilaporkan masih terkandas di 56 buah negara.

Jumlah teramai adalah di India yang mana seramai 2,156 orang masih terkandas di negara itu disusuli Indonesia (680 orang); Thailand (337 orang); Australia (226 orang); New Zealand (153 orang); Pakistan (128 orang); Arab Saudi (121 orang); Filipina (54 orang); Sri Lanka (50 orang) dan Emiriah Arab Bersatu (43 orang).

Jelas beliau, jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di India dijangka semakin berkurangan apabila 11 pesawat penerbangan sewa khas akan membawa pulang mereka tidak lama lagi.

“Saya juga ingin memaklumkan khabar gembira berkenaan 144 warganegara Malaysia yang dijangka tiba dari Myanmar pada jam 3.50 petang ini, melalui pesawat khas Malaysia Airlines MH 741.

“Meskipun Kerajaan Myanmar secara amnya telah membatalkan semua kemasukan penerbangan komersial ke negara tersebut berkuat kuasa 30 Mac 2020, Kedutaan Malaysia di Yangon dengan kerjasama Malaysia Airlines telah berkolaborasi dengan Kerajaan Myanmar untuk memberi kebenaran khas penerbangan pesawat dari Malaysia ini,” katanya semasa sidang media hari ini.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berhasrat pulang ke negara ini untuk segera berbuat demikian sebelum syarikat penerbangan komersial menangguhkan operasi masing-masing atau negara berkenaan mengadakan sekatan akibat wabak Covid-19.

Menyentuh mengenai nasib 18 rakyat Malaysia yang sedang terkandas di Bolivia, Kamarudin berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru telah memberi bantuan yang sewajarnya dan dalam masa sama sedang meneliti alternatif untuk membantu mereka.

Ini kerana kerajaan Bolivia telah mengisytihar perintah sekatan di negara tersebut.

Kamarudin yang tanya mengenai dakwaan Wisma Putra menggunakan pihak ketiga untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara berkata, bantuan yang diterima adalah dalam bentuk dana bagi membiayai kos penerbangan sahaja.

Segala urusan termasuklah rundingan dengan kerajaan negara terbabit dilakukan oleh Wisma Putra sendiri melalui saluran-saluran diplomatik.

Bagi pelajar di luar negara pula, Wisma Putra katanya, sentiasa berhubung dengan wakil-wakil Education Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan wakil-wakil komuniti pelajar untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan di negara-negara berkenaan.

Bagi pelajar JPA katanya, agensi tersebut menasihatkan pelajar-pelajar tajaannya untuk terus berada di negara pengajian masing-masing manakala Mara menasihatkan para pelajar tajaannya untuk kekal di negara pengajian masing-masing sekiranya tiada arahan meminta pelajar asing untuk pulang ke negara asal. – MalaysiaGazette