.Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa berkomunikasi dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan majlis-majlis daerah dalam usaha melaksanakan proses nyah cemar di kawasan-kawasan dijangkiti Covid-19.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa berkomunikasi dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan majlis-majlis daerah dalam usaha melaksanakan proses nyah cemar di kawasan-kawasan dijangkiti Covid-19.

Perkara itu dijelaskan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang memberitahu, terdapat pelaksanaan lebih awal dilakukan oleh pihak berkenaan sebelum mendapat garis panduan pelaksanaan daripada KKM.

“Apa yang kita hendak katakan di sini adalah kita nak ucapkan terima kasih kepada DBKL dan KPKT dan majlis daerah kerana membantu KKM untuk lakukan nyah cemar tetapi kita kena lihat bagaimana kita boleh ikut SOP (Prosedur Operasi Standard) KKM apa yang patut dibuat dan apa yang tidak dibuat.

“Jadi, mungkin kita akan berkomunikasi dengan DBKL, KPT dan majlis daerah untuk kita bagi panduan untuk membersihkan ataupun nyah cemar kawasan-kawasan tersebut,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Noor Hisham berkata demikian ketika kepada wartawan ketika diminta menjelaskan mengenai SOP yang dilakukan dalam melaksanakan proses nyah cemar sebagai pembasmian terhadap jangkitan wabak Covid-19.

Terdahulu, bekas Ketua Pengarah Kesihatan,  Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman mendakwa berkemungkinan pihak yang membantu KKM dalam melaksanakan proses nyah cemar telah melakukan proses berkenaan lebih awal sebelum mendapat garis panduan daripada KKM.

Katanya, adalah sangat penting semua kakitangan yang menjalankan operasi pembersihan dan pembasmian kuman Covid-19 di seluruh negara perlu dimaklumkan dan dilatih dengan baik dalam prosedur sanitasi.

Mengulas mengenai perkara itu Noor Hisham berkata, pihak berkenaan perlu menggunakan bahan kimia yang telah disenaraikan oleh KKM dan mendapatkan kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan mengikuti garis panduan cara pelaksanaan ditetapkan.

“Jadi ini isu pelaksanaan mungkin kita akan ambil tindakan untuk menasihati bagaimana hendak laksanakan dengan betul,” ujarnya. – MalaysiaGazette