Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Kira-kira 5,123 orang jemaah Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling yang masih belum tampil secara sukarela diberi amaran supaya segera membuat saringan Covid-19.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak mahu mereka yang terlibat tidak menyembunyikan diri.

Menurutnya, polis kali ini membuat keputusan untuk tidak lagi berlembut dalam perkara tersebut dan sudah bersedia bertindak tegas ke atas mereka yang masih berdegil.

Katanya, hasil perbincangan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di Bukit Aman petang ini, pihaknya mengambil keputusan itu bagi usaha menangani penularan wabak Covid-19.

“Kita ada bincang contohnya, apakah sekatan jalan raya mencukupi atau perlunya strategi yang lebih kukuh selain data-data yang diperolehi beberapa kumpulan kluster menyebabkan Covid-19 berpanjangan dari segi rantaian.

“Kalau hendak mengkaji seorang demi seorang peserta adalah susah, maka saya mohon mereka yang merasakan dirinya mempunyai kontak rapat dengan beberapa kluster tabligh supaya tampil saring diri. Ingat kami tak mahu tangkap tapi suruh buat saringan sahaja.

“Saya hendak tegaskan kalau sesiapa tahu, contohnya dalam keluarga isteri dia positif dan ada lima dalam keluarga pergi bersama kluster ke tabligh dan dia merahsiahkan kepada anda, suruh dia tampil buat saringan. Kalau kami dapat tahu tindakan tegas akan menyusul.

“Kita minta mereka (jemaah tabligh) keluar secara baik.. tiba masanya untuk polis bertegas. Kalau dapat tahu nanti dia sorok atau tidak mahu buat saringan maka tindakan akan diambil,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Beliau dalam perkembangan berkaitan menambah bahawa sekiranya orang atau ahli keluarga yang sedia maklum mengenai kehadiran ahlinya ke Tabligh tetapi disembunyikan juga perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka dan akan berdepan tindakan.

Justeru katanya, sekiranya jemaah tabligh yang memilih untuk masih mahu menyorok diri dalam rumah tetapi ahli keluarganya sudah menjalani saringan, polis akan menjejaki dia.

Ditanya bentuk tindakan tegas yang akan digunakan ke atas Jemah Tabligh yang berdegil dan menyorok diri daripada muncul untuk saringan, Hamzah berkata, ia akan diketahui kelak setelah tindakan dilaksanakan ke atas kluster-kluster tersebut oleh pihak berkuasa.

Hamzah juga menafikan kononnya polis mempunyai senarai lengkap peserta tabligh yang masih berdegil untuk menjalani saringan Covid-19 untuk dijejaki seperti yang didakwa dalam media sosial sejak minggu lalu.

“Yang kami tahu adalah sekitar 10,000 orang jemaah tabligh sudah menjalani saringannya secara sukarela walaupun ada yang mendakwa angka berbeza jumlah jemaah iaitu 15,000 hingga 20,000 orang..cuma lebih 4,000 lagi masih belum tampil untuk saringan.

“Saya berharap tidak ada pihak yang sesuka hati membuat penafsiran sendiri mengenai bilangan jemaah tabligh,” ujarnya.

Ditanya samada pasangan suami atau isteri yang merahsiakan pasangannya pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Sri Petaling akan dikenakan tindakan, Hamzah berkata, perkara itu akan diteliti pihak berkuasa.

Dalam pada itu, seramai 83 peserta tabligh yang baru pulang dari Sulawesi, sebahagiannya telah menjalani saringan dan telah dikuarantin selain menurut perintah dan nasihat kesihatan berbanding perangai jemaah Tabligh Sri Petaling.

“Kami juga tidak mempunyai idea masa ini untuk mendedahkan kawasan yang mempunyai kluster Covid-19 memandangkan masalah besar yang dihadapi pihaknya adalah daripada jemaah tabligh Sri Petaling dan fokus dialih ke arah mereka.

“Mereka duduk dengan anak beranak dan bimbang rantaian Covid itu akan merebak dan sekiranya mereka mengambil serius amaran saya dan tampil sukarela buat saringan segera, insyaAllah masalah Covid dapat disekat daripada membesar menjadi rumit.

“Satu lagi saya juga mendesak sesiapa sahaja tidak menyebarkan cerita yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum dan agama dalam soal Covid.

“Saya lihat ada yang kutuk mengutuk dalam media sosial daripada membantu menangani masalah bersama. Cukuplah tolong hentikan perbuatan ini dan ganding bahu untuk menangani Covid secara bersama,” tegasnya.

Setakat ini seramai lebih 3,125 telah ditangkap polis atas kesalahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan dan 246 telah berjaya didakwa di mahkamah.- MalaysiaGazette