KUALA LUMPUR – Saranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kepada keluarga terutamanya wanita yang terkesan dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk meniru suara watak komik, Doraemon bagi memujuk pasangan masing-masing dan mengelakkan pergaduhan rumah tangga menjadi perhatian ramai hari ini.

Rata-rata netizen di media sosial ‘mentertawakan’ cadangan yang diterajui pemimpin Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd. Harun itu.

Selain itu, wanita juga diminta berhias di rumah sepanjang PKP seperti hari kebiasaan mereka keluar bekerja bagi menarik perhatian suami.

Seorang pelayar Twitter, IchaAneesa berkata, cadangan itu kelakar dan beliau tidak sanggup untuk melakukannya.

“Hahaha this is so funneyhhhh 😂Whatever you wear tak penting, masing masing da tau.What matter now is those mothers who can’t feed their kids during MCO. Get your priorities right Rina🤦🏽‍♀️.

Sorry I can’t fake myself tiru suara Doraemon. Tak sexy langsung🤣😝Sailormoon lah better,” katanya di Twitter.

“Bayangkan suami yang panas baran sudah 14 hari di rumah dan tidak bertemu orang. Isteri ikut nasihat KPWKM buat suara Doraemon. Mau kena cekik isterinya,” sindir seorang lagi netizen, AfiqMNoor.

Seorang lagi pelayar Twitter, Dr. Lyana Khairuddin turut mencadangkan supaya KPWKM memberi lebih perhatian kepada isu keganasan rumah tangga yang berlaku sewaktu PKP.

“Tak perlulah poster tentang berhias dan teguran bernada Doraemon, (lebih baik) selamatkan anak-anak dan wanita terutamanya dari keganasan rumah tangga,” ujarnya.

Malah ada juga netizen menggesa agar Rina memulakan cadangan itu dalam sidang media yang dikelolakan oleh beliau kelak.

“Petisyen untuk melihat Rina Harun bercakap di sidang media menggunakan suara Doraemon,” kata @jhnrdzi.

Kementerian itu hari ini menerusi satu hebahan di media sosial rasminya, antara lain mencadangkan isteri supaya tidak berleter malah turut menggesa wanita yang terpaksa bekerja dari rumah supaya berhias seperti hendak ke pejabat termasuk mengenakan solekan. – MalaysiaGazette