R. Vidyananthan

KUALA LUMPUR – Pertambahan kes baharu wabak Covid-19 yang meningkat di Batu Pahat menjadikan daerah itu sebagai lokasi tumpuan operasi nyah cemar dan sanitasi awam di negeri Johor yang dilakukan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, Batu Pahat mencatatkan kes penularan tertinggi wabak Covid-19 di negeri itu selepas daerah Kluang dan Johor Bahru.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor akan memulakan proses nyah cemar dan sanitasi awam ke semua daerah di Johor bermula hari ini sehingga 14 April depan, secara berperingkat.

“Pegawai Kesihatan Daerah akan menetapkan lokasi operasi nyah cemar di daerah masing-masing terutama membabitkan lokasi kes tinggi penularan wabak Covid-19 selain kawasan tumpuan umum,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasmi kerajaan Johor hari ini.

Vidyananthan berkata, proses nyah cemar dan sanitasi awam yang telah dilakukan semalam akan diteruskan di Simpang Renggam, Kluang dan Kampung Sinaran Baru, Kempas yang menjadi lokasi tertinggi penularan wabak itu di Johor.

Dalam pada itu, Vidyananthan menegaskan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri berkenaan mencatatkan 96.42 peratus sehingga semalam dan ia mencatatkan peningkatan kecil.

“Sepatutnya hari ini adalah hari terakhir PKP dikuatkuasakan kerajaan, namun peningkatan kes positif wabak Covid-19 yang terus meningkat menyebabkan ia terpaksa disambung sehingga 14 April.

Justeru, Vidyananthan meminta rakyat Johor supaya mengambil iktibar dan mengambil serius terhadap arahan PKP dengan memberi kerjasama penuh kepada arahan kerajaan dengan memastikan tidak keluar dari rumah jika tiada keperluan mendesak.

“Menerusi fasa kedua PKP ini, kerajaan Johor akan mempertingkat serta memperketatkan langkah kawalan seiring arahan daripada kerajaan Pusat, ” ujarnya. – MalaysiaGazette