Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan baru-baru ini wajar menjadi panduan kepada kerajaan dan rakyat dalam merencana strategi khususnya dalam aspek memastikan bekalan makanan tidak terputus.

Sikap prihatin kerajaan dengan melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat di samping sifat semulajadi rakyat Malaysia yang suka memberi bantuan kepada yang memerlukan amat wajar dipuji.

Namun, keadaan boleh bertukar menjadi sangat genting jika PKP dipanjangkan lagi dan bekalan makanan semakin berkurang.

Mungkin dari segi kewangan tiada masalah di mana kerajaan dan rakyat yang prihatin dan mampu boleh terus memberi bantuan tetapi itu semua tidak akan bermakna lagi apabila bekalan makanan itu sendiri berkurangan atau tiada.

Kerajaan menerusi kementerian dan agensi berkaitan perlu mempunyai maklumat tepat tentang kadar bekalan makanan dalam negara hari ini.

Dimaklumkan bahawa stok bekalan makanan dalam negara mampu bertahan untuk tempoh 10 minggu atau 2 bulan setengah sahaja.

Apa akan berlaku jika rakyat terus membuat pembelian panik dalam tempoh terdekat ini dan di masa yang sama makanan yang diimport atau bahan untuk membuat makanan yang diimport tidak ada kerana negara pembekal sendiri menghadapi krisis bekalan makanan.

Di masa yang sama adalah diketahui bahawa bekalan domestik memang tidak mencukupi. Pastinya perkara ini amat serius dan perlu ditangani secara strategik.

Berikut 5 strategi untuk mengekang krisis bekalan makanan negara.

1. Memperkasa Bekalan Domestik: Kerajaan menerusi kementerian berkaitan perlu menyegerakan pakej bantuan kewangan dan kepakaran kepada petani, penternak dan nelayan (besar, sederhana dan kecil) bagi membolehkan mereka meningkatkan pengeluaran.

Agensi-agensi berkaitan pertanian, penternakan dan perikanan baik dari aspek penyelidikan, peningkatan hasil dan pemasaran perlu berkerjasama erat dalam menjayakan agenda ini.

Gerak kerja antara agensi dan pemain industri perlu segera diperkemas dan setiap mereka jelas akan peranan yang mereka mainkan khususnya semasa tempoh krisis ini dan beberapa bulan selepas krisis ini tamat.

2. Memperkukuh Bekalan Import: Kerajaan menerusi kementerian berkaitan perlu berhubung dengan negara-negara pembekal bagi memastikan bekalan makanan atau bekalan bahan mentah membuat makanan tidak terputus terus dari negara berkaitan.

Kerajaan perlu menggunakan hubungan baiknya dengan negara-negara serantau, Asia dan dunia untuk mendapatkan bekalan-bekalan tersebut khususnya apabila pembekal utama selama ini tidak dapat memberi bekalan seperti biasa.

Di sinilah kebijaksanaan berunding dengan pihak luar khususnya semasa krisis perlu ada dalam diri pegawai-pegawai kerajaan yang berkaitan. Matlamatnya jelas iaitu mereka perlu memastikan peratus bekalan import dapat dicapai kerana jika tidak negara akan terjerumus ke dalam krisis bekalan makanan.

3. Memantapkan Bekalan Makanan Lestari: Di masa hadapan Malaysia perlu memulihkan Projek Gedung Makanan Negara. Negara sewajarnya memajukan kembali sektor pertanian domestik. Kembalikan peranan UPM sebagai peneraju utama pertanian moden negara di samping institusi-institusi pengajian tinggi lain yang berkaitan.

Di masa yang sama kerajaan perlu menggalakkan syarikat-syarikat besar negara seperti GLCs melabur di negara-negara berpotensi dalam sektor pertanian dan penternakan. Sewajarnya mereka tidak terikat dengan sektor perladangan kelapa sawit sahaja.

GLCs Malaysia boleh menceburi sektor penanaman padi, penternakan ayam, lembu dan sebagainya di mana disesetengah negara itu kadar pelaburan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Malaysia.

Malaysia perlu memikirkan untuk menjadikan dirinya bukan sahaja sebagai Gedung Makanan Negara tetapi Gedung Makanan Asia atau Dunia. Pertaniaan adalah perniagaan yang amat menguntungkan.

4. Mendidik Masyarakat Prihatin: Kerajaan menerusi kementerian, agensi dan NGO berkaitan perlu berkerjasama dalam mendidik masyarakat menerusi penerangan ringkas, mudah difahami dan menarik tentang contohnya berapa stok makanan perlu disimpan oleh sesebuah keluarga untuk tempoh satu minggu mahupun sebulan.

Pendidikan sedemikian perlu dilakukan kerana kebimbangan rakyat tentang kemungkinan krisis makanan berlaku ada asasnya.

Untuk itu rakyat perlu ditenangkan dan pakar dalam bidang pemakanan boleh dimanfaatkan untuk menjelaskan apakah dan berapa banyakkah makanan perlu disimpan oleh sebuah keluarga untuk tempoh satu minggu atau satu bulan. Ilustrasikan perkara ini dengan menarik dalam media massa dan media sosial.

Penekanan perlu diberikan juga dalam aspek mendidik rakyat agar tidak bersifat mementingkan diri. Bagaimana sikap timbang rasa mereka dalam membeli bahan makanan boleh membatu keluarga lain mendapat bekalan makanan atas sebab kebertanggungjawaban mereka iaitu tidak membeli dan menyimpan stok makanan secara berlebihan.

5. Memantapkan Penyelarasan Bantuan: Kerajaan menerusi kementerian, agensi berkaitan dan NGO utama negara wajar lebih berperanan dalam menyelaras bantuan khususnya yang disumbangkan oleh rakyat.

Ini akan membolehkan bantuan diagihkan dengan lebih adil dan sistematik. Maklumat penduduk satu-satu kampung, taman atau PPR itu boleh diperolehi dari pemimpin setempat atau persatuan penduduk kawasan berkaitan. Dengan kata lain tidak sukar untuk mengenali rumah-rumah yang perlukan bantuan.

Agihan bantuan secara tidak berpusat dan sistematik mengikut struktur negara, negeri, daerah, mukim dan kampung atau taman serta PPR boleh menyumbang kepada kekurangan bekalan makanan di pasaran.

Akhir kata, 5 strategi ini jika dirancang dan dilaksanakan dengan baik mampu membantu negara bebas dari terjerumus ke dalam kancah krisis bekalan makanan khususnya jika tempoh PKP berpanjangan iaitu lebih dari 2 bulan. – MalaysiaGazette

Oleh Prof. Dr. Haim Hilman, Professor Pengurusan Strategik, UUM.