Ketua Wanita DPAI, Datuk Seri Erynna Abd. Rashid (dari kiri), Datuk Moehamad Izat Emir dan Timbalan DPAI, Datuk Sohaimi Shahadan bersama peralatan perubatan yang akan dihantar ke Hospital Sg. Buloh dan Hospital Selayang.

KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan ASEAN Dan Industri (DPAI) menyumbangkan kira-kira 1,000 peralatan perubatan kepada Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang yang berdepan pandemik Covid-19.

Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, dewan perdagangan itu berhasrat untuk menambah sumbangan pada masa hadapan sekiranya masih ada ahlinya yang sudi menyumbang dana.

Tambahnya, sumbangan tersebut adalah tanda keprihatinan ahli-ahli DPAI terhadap pengorbanan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia ketika berdepan dengan wabak tersebut.

“Terima kasih kepada seluruh ahli DPAI kerana dalam tempoh beberapa hari sahaja berjaya mengumpul dana sumbangan dan membuat pesanan untuk membeli kelengkapan peralatan perubatan.

“Peralatan ini akan disalurkan ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang pada hari ini. Diharap bantuan ini dapat memberi keselesaan kepada petugas hospital kerana jumlah pesakit yang dirawat akibat Covid-19 semakin bertambah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara sumbangan yang disalurkan oleh DPAI ialah pelindung muka, cecair sanitizer, sarung tangan getah dan kasut getah untuk petugas hospital berkenaan. – MalaysiaGazette