Syed Badli Shah Syed Osman
Syed Badli Shah Syed Osman.

KUALA LUMPUR- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun disaran untuk meletakkan jawatan sekiranya tidak serius dalam membantu golongan sasar di bawah kementerian beliau.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, kementerian tersebut sepatutnya menjadikan keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak sebagai tugas utama.

Tambahan pula, kes keganasan rumah tangga mungkin semakin meningkat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilasanakan.

“Saranan kementerian supaya para isteri mengurangkan leteran lantas meniru suara watak animasi Doraemon bagi memujuk pasangan yang kurang kerjasama adalah cadangan dangkal.

“Cadangan itu seolah-olah mempersendakan kaum wanita yang berhadapan dengan suami yang kurang prihatin bahkan menjadi bahan lucu masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Syed Badli, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga seharusnya memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan ibu tunggal yang mempunyai pendapatan kurang.

Warga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat menurut beliau seharusnya menjadi barisan hadapan bagi memerangi Covid-19 dan membantu golongan kurang berkeupayaan seperti orang tua dan orang kelainan upaya (OKU).- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Saranan guna suara Doraemon masa PKP jadi perhatian

JPW mohon maaf isu poster tular