KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad hari ini meluangkan masa hampir 40 minit untuk menjawab soalan-soalan daripada pengikutnya di laman sosial.

Ahli Parlimen Langkawi berusia 94 tahun itu menampilkan dirinya menerusi siaran langsung di laman Facebook dan Instagram untuk menjawab kira-kira 20 soalan yang ditanyakan oleh pengikutnya.

Berdasarkan pemerhatian, Dr Mahathir dilihat menjawab soalan-soalan  berkisarkan tentang isu semasa serta peribadi beliau secara spontan.

Antara soalan yang ditanyakan kepadanya adalah cara beliau mengisi masanya ketika ini selepas tidak lagi menjadi perdana menteri serta perkara berkaitan penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.

Turut ditanyakan netizen sama ada beliau tetap melakukan aktiviti memasak makanan kegemarannya mee bandung dan nasi goreng.

Dr Mahathir turut berpesan agar rakyat Malaysia mengikut arahan oleh pihak kerajaan untuk sentiasa berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telahpun dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Bekas perdana menteri hampir 24 tahun itu dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebelum ini menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 secara sukarela di kediamannya.

Ujian saringan itu dilakukan selepas beliau bergambar dengan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii yang kemudiannya disahkan positif wabak berkenaan.

Beliau kemudiannya menjalani ujian saringan kedua yang dilakukan oleh empat kakitangan perubatan Hospital Putrajaya dan memberikan jaminan akan tetap mematuhi protokol kuarantin selama 14 hari. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Assalammualaikom
    Permohonan BSH
    Saya Warga mas sebatang kara tiada peruntukan skim BSH
    Di kala wabak Corona 19..

Comments are closed.