Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto SYAFIQ AMBAK, 29 MAC 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan pertambahan lima lagi kes kematian baharu berkaitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat pandemik virus maut itu adalah sebanyak 50 kes atau 1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, kes kematian ke-46 (Kes ke-2909) merupakan seorang lelaki warga negara tempatan berumur 37 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik dan rendah imuniti dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah Johor pada 28 Mac lalu tetapi disahkan meninggal dunia pada 31 Mac lalu pada jam 11.10 malam.

“Kes kematian ke-47 (kes ke-2910) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 78 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit gout. Beliau dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah pada 17 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 7.10 malam.

“Kes kematian ke-48 (kes ke-2752) adalah lelaki tempatan berusia 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom pada 29 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia padada 2 April jam 8.01 pagi.

“Kes ke-49 adalah lelaki warga tempatan juga berusia 61 tahun yang mempunyai kontak rapat dengan positif Covid-19 (Kes-2017) yang mana telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 1 April 2020 jam 8.36 malam,” katanya dalam sidang media perkembangan semasa jangkitan penyakit itu petang tadi.

Malah katanya, kes ke-50 (kes Ke-1767) merupakan lelaki warganegara tempatan berusia 69 tahun yang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar pada 22 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 2 April jam 2.20 petang.

Berhubung kes terbaharu Covid, katanya sehingga 12 tengahari 2 April 2020, terdapat 208 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan.

Katanya, angka itu sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid di negara ini adalah sebanyak 3,116 kes.

Sehingga kini, seramai 105 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Namun 122 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 767 kes (24.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). – MalaysiaGazette