Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Masih terdapat segelintir masyarakat yang ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang orang awam atau kenderaan persendirian berada di atas jalan selepas pukul 10 malam.

Seperti biasa alasan tidak masuk akal seperti maahu membeli membeli mi segera dikemukakan ketika ditahan polis yang melakukan operasi di Taman Medan, di sini malam tadi.

Pada operasi itu fasa kedua PKP yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, seramai 12 individu termasuk seorang suspek kes ragut, ditahan.

Nik Ezanee berkata, pemilihan lokasi operasi berdasarkan kajian kawasan yang kurang mematuhi perintah itu yang dilakukan pihaknya sejak minggu lalu.

“Apa yang saya buat kita sudah mengkaji dari minggu lepas kawasan-kawasan yang masih lagi kurang mematuhi PKP, ada penduduk yang masih lagi curi-curi keluar,” katanya kepada pemberita di plaza tol Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Bagaimanapun jelas Nik Ezanee, jumlah tangkapan malam ini yang berkurangan menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya mematuhi PKP untuk menamatkan rantaian Covid-19. semakin meningkat.

Tambah beliau, kini hanya lima peratus yang curi-curi keluar dengan alasan tidak masuk akal.

“Apa yang kita lihat keadaan memang bertambah baik dari segi pematuhan, 90 peratus pematuhan di kawasan yang selalunya meriah dan kita ada buat tangkapan malam ini yang masih lagi curi-curi keluar.

“Saya tidak merasakan mereka ini degil mereka hanyalah tidak dapat duduk di rumah mungkin disebabkan bosan atau sebagainya.

“Alasan yang diberikan pun seperti mahu membeli mi segera dan sebagainya, alasan yang lebih kurang tidak masuk akal,” tambahnya.

Ezanee memaklumkan, seramai 52 anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya digerakkan malam ini dalam operasi itu.

Bergerak dari IPD pada 8:30 malam tadi, fokus pihak berkuasa itu adalah kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi seeperti rumah pangsa.

“Hari ini saya keluarkan sebanyak 13 kereta polis peronda (MPV), 15 Unit Rondaan Bermotosikal (URV), dan tiga pasukan cantas iaitu pasukan yang menangkap bagi mereka yang masih lagi tidak mematuhi PKP,” kata beliau.

Kesemua yang ditahan malam ini berusia di antara 20-an hingga 50-an dan mereka  akan di bawa ke balai untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette