KUALA LUMPUR – Memasuki hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis kini beralih kepada mod keras.

Katanya, sekiranya dulu hanya memberikan nasihat dan dan tegas, mod keras perlu bagi memastikan semua rakyat negara ini mematuhi perintah PKP.

“Polis masih seperti biasa meneruskan tindakan mereka dan tindakan mereka kini adalah di tahap keras.

“Mulanya berlembut dan menasihat lepas itu mod polis bertukar kepada tegas dan kini mod polis adalah keras. Jadi, kita harap rakyat terus mematuhinya,” katanya dalam sidang media harian di Perdana Putra hari ini.

Ismail Sabri berkata, langkah itu didapati berkesan dengan pengurangan jumlah individu yang ditahan menunjukkan penurunan.

Jika pada Selasa, jumlah individu yang ditahan pada tahap 583 individu, semalam jumlah itu mengalami penurunan kepada 562 individu sahaja.

“Ini menunjukkan terdapat penurunan 3.6 peratus dari segi jumlah tangkapan. Jika trend penurunan ini menunjukan pematuhan rakyat kepada perintah maka ianya adalah satu perkara yang baik.

“Ini sebenarnya ditunggu-tunggu oleh kerajaan kerana rakyat telah mulai sedar tentang tanggungjawab mereka untuk patuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sepanjang PKP dilaksanakan seramai 4,189 individu telah ditahan dimana 1,449 telah dituduh di mahkamah.

Malah ada di antaranya telah dijatuhkan hukuman, denda malah ada yang telah menjalani hukuman penjara.

“Ada kes di mana penjara telah dikenakan kepada mereka selama lapan bulan kerana bukan kesalahan ingkar semata-mata tapi kesalahan lain seperti melawan pihak polis dan mengganggu kerja polis. Jadi, saya harap perkara itu tidak lagi dilakukan,” katanya lagi.

Sebanyak 687 sekatan jalan raya telah dijalankan semalam dengan 380,342 kenderaan telah diperiksa.

Sebanyak 3,791 premis juga telah diperiksa dan sebanyak 23,256 premis telah dijalankan secara mengejut. -MalaysiaGazette