Gambar hiasan

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump percaya Rusia dan Arab Saudi akan berbincang semula dan mengakhiri perang harga minyak tidak lama lagi dengan menurunkan pengeluaran sekali gus menstabilkan semula harga minyak.

“Saya akan bertemu dengan pengeluar-pengeluar minyak pada hari Jumaat. Saya juga akan bertemu dengan pengeluar-pengeluar minyak bebas sama ada pada hari Jumaat atau Sabtu. Mungkin hari Ahad, kami ada banyak mesyuarat mengenainya,” katanya.

Tambah beliau, industri minyak di seluruh dunia telah musnah dan ia tidak baik untuk Rusia dan Arab Saudi.

”Maksud saya, tidak baik untuk kedua-duanya. Saya rasa mereka akan membuat perjanjian,” ujar beliau.

Harga minyak dunia telah jatuh kira-kira dua per tiga tahun ini kerana koronavirus yang telah menjejaskan ekonomi global.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan limpahan minyak oleh pengeluar utama dunia, Arab Saudi dan Rusia.

Kejatuhan harga minyak memberi ancaman kepada industri penggerudian AS sekali gus mengakibatkan pemberhentian kerja besar-besaran dan muflis.

Trump dijangka membincangkan pelbagai pilihan untuk membantu industri, termasuk kemungkinan tarif import minyak dari Arab Saudi, menurut Wall Street Journal.

Presiden AS itu pada minggu ini menyifatkan perang harga minyak antara Rusia dan Arab Saudi sebagai ‘gila’.

Dua pemimpin tenaga dari dua negara itu kemudian saling berhubung dan bersetuju untuk meneruskan perbuncangan dengan pengeluar-pengeluar utama minyak global.

Malah, pentadbiran Trump juga merancang untuk menghantar wakil khas ke Riyadh untuk membincangkan mengenai penurunan pengeluaran.

Arab Saudi telah meningkatkan bekalan minyak mentah pada hari Rabu kepada lebih 12 juta tong sehari, menurut sumber industri, biarpun permintaan menurun. – MalaysiaGazette