Ketua Koordinator Program Pusat Kesihatan Kelang, Dr. Asliza Aris (dua dari kanan) menunjukkan sut PPE yang telah siap dijahit semasa lawatan bersama kakitangannya di bengkel jahitan FSSR Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Turut kelihatan Pensyarah kanan Jabatan Seni Reka Fesyen FSSR, Dr Rose Dahlina Rusli (dua dari kiri).Gambar: Ikhsan Foto UiTM

KUALA LUMPUR – Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sudah masuk hari ke-17 sekumpulan pensyarah Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam giat menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan terutamanya yang mengendalikan kes wabak Covid-19.

Inisiatif projek kemasyarakatan ini terhasil dengan diketuai oleh Pensyarah Kanan, Dr Rose Dahlina Rusli bersama enam lagi pensyarah apabila mereka mendapati video tular berkaitan penghasilan PPE sendiri oleh segelintir jururawat untuk kegunaan mereka.

Kerja- kerja penghasilan PPE ini dimulakan sejak Isnin lepas di bengkel jahitan FSSR dengan dibantu seramai 51 orang tukang jahit profesional di sekitar kawasan daerah persekitaran Shah Alam.

” Kami di bengkel ini hanya memotong bahan mentah mengikut pola ukuran dan kemudian mengagihkannya kepada sukarelawan tukang jahit yang terdiri daripada alumni dan butik persendirian di kawasan berdekatan.

“Projek yang bermula dari jam 8 pagi sehingga 3 petang dapat menghasilkan purata hampir 800 unit PPE sejak Isnin lalu sebelum diagih-agihkan ke Hospital sekitar Lembah Klang melalui agen penghantaran”, jelasnya.

Dr. Asliza Aris (dua dari kiri) melihat sut PPE yang telah siap dijahit yang didemontrasikan seorang pensyarah semasa lawatan bersama kakitangannya di bengkel jahitan FSSR Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Gambar: Ikhsan Foto UiTM

Projek khidmat sosial masyarakat (CSR) ini turut dibantu alumni, badan bukan kerajaan (NGO) dan sumbangan orang ramai dengan dengan pemberian bahan mentah untuk proses pelaksanaan PPE ini.

Dalam pada itu Ketua Koordinator Program Pusat Kesihatan Klang, Dr. Asliza Aris menyifatkan kerja- kerja sukarelawan ini menjadi satu pembakar semangat petugas barisan hadapan.

Beliau bersama kakitangannya hadir ke bengkel jahitan FSSR itu melihat sendiri proses penghasilan PPE ini dan berterima kasih kepada pasukan pensyarah yang bertungkus lumus dalam melaksanakan projek tersebut. – MalaysiaGazette