KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah hari ini menafikan dakwaan seorang penumpang kononnya dia telah mendapat pelepasan ke Semenanjung kerana menggunakan bantuan ‘orang dalam’ walaupun semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya, Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, siasatan mendapati bahawa dakwaan penumpang tersebut telah diberi perlepasan ke Semenanjung menggunakan ‘orang dalam’ iaitu ‘bos imigresen’ tidak benar dan tidak berasas.

Kenyataan itu menyusul selepas gambar tular di media sosial bertarikh 1 April lalu yang menyatakan tiga penumpang telah berlepas menaiki pesawat Malaysia Airlines melalui Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur.

“Ini kerana berdasarkan peraturan, semua warganegara Malaysia tidak dihalang untuk meninggalkan Negeri Sabah dan tidak perlu mendapat kebenaran khas dari pihak Imigresen tetapi hanya perlu melalui pemeriksaan imigresen biasa sahaja.

“JIM Sabah telah berhubung dengan penumpang berkenaan bagi mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan bahawa beliau hanya menghubungi pegawai Imigresen untuk bertanya status kebenaran berlepas ke Semenanjung dan bukannya menggunakan ‘orang dalam’ seperti yang didakwa.

“Beliau telah memohon maaf atas kejadian viral itu kepada  kami hari ini dan berjanji akan memadam kenyataan bergambar tersebut di media sosial.

“Sehubungan itu Imigresen Sabah menasihatkan orang ramai supaya berhatihati ketika membuat kenyataan di media sosial agar tidak menyebarkan berita palsu yang mencemarkan imej jabatan kerajaan sebagai pemberi perkhidmatan di barisan hadapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19,” tegasnya.

Muhamad Sade berkata, mengikut peraturan pihaknya berkaitan PKP yang berkuatkuasa pada 19 Mac lalu, semua warganegara Malaysia yang sedang bercuti, belajar atau bekerja atau bertugas rasmi di Sabah atau Sarawak tidak dihalang untuk kembali ke Sabah dan Sarawak dan juga sebaliknya atas faktor kemanusiaan.

“Manakala semua warganegara Malaysia yang ingin masuk ke Sabah perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri Sabah kecuali penjawat awam negeri dan Persekutuan yang masuk ke Sabah untuk menjalankan tugas-tugas essential services tertakluk kepada surat pengesahan ketua jabatan yang dikeluarkan khusus setiap kali keperluan tugas.

“Pekerja sektor swasta yang masuk ke negeri Sabah untuk menjalankan tugas-tugas essential services tertakluk kepada surat pengesahan majikan yang dikeluarkan khusus setiap kali keperluan tugas.

“Selain itu, penduduk bukan rakyat Sabah termasuk suami, isteri dan anak mereka dengan pemegang Pas Penduduk Tetap Sabah, Penduduk Sabah di bawah Pas Kerja, Pas Pelajar, Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang atau apa-apa perintah pengecualian dibenarkan masuk tertakluk kepada kuarantin kendiri selama 14 hari, stay home notice.

“Pasangan yang bukan penduduk Sabah perlu menunjukkan bukti perkahwinan,” katana dalam kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette