Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR- Susulan tindakan Singapura melaksanakan Kawalan Pergerakan (PKP) di republik itu, kerajaan diminta untuk meneliti keperluan membenarkan rakyat Malaysia yang sedang berada di negara berkenaan untuk pulang.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, langkah terbaharu Singapura itu mengakibatkan rakyat Malaysia yang berada di negara tersebut tidak boleh bekerja dan bantuan tempat tinggal yang diberikan sebelum ini dihentikan.

“Saya menggesa kerajaan Malaysia meneliti keperluan bagi membenarkan rakyat Malaysia di Singapura untuk pulang ke Malaysi namun, mereka yang kembali perlulah melalui proses saringan yang ketat dan kuarantin wajib selama 14 hari sekembalinya ke Malaysia.

“Mereka perlulah di tempatkan di pusat-pusat Kuarantin yang disediakan oleh kerajaan Malaysia dan sekiranya terdapat keterbatasan tempat-tempat kuarantin sedia ada, kerajaan perlu meneliti aset-aset sedia ada seperti dewan raya dan sekolah-sekolah untuk dijadikan pusat kuarantin baru.

“Komunikasi dan pengarahan kepada mereka yang melalui proses kembali dari Singapura ke Malaysia perlulah dibuat dengan jelas dan teratur bagi mengekalkan penjarakan sosial (social distancing),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Singapura Lee Hsien Loong hari ini mengumumkan semua sekolah dan tempat kerja (kecuali perkhidmatan penting) di negara itu ditutup selama sebulan bermula 7 April ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia itu juga meminta kerajaan Persekutuan menilai kembali Bantuan Prihatin Nasional supaya lebih inklusi dan melibatkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Ini termasuk memberi bantuan kewangan kepada pekerja yang menerima upah harian atau berpendapatan bawah RM4,000 sebulan.- MalaysiaGazette