Datuk Kamarudin Jaffar

KUALA LUMPUR – Seramai 2,298 orang rakyat Malaysia masih terkandas di 47 buah negara, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.

Mereka adalah seramai 1,016 di India iaitu diikuti Thailand (172 orang), New Zealand (136 orang), Pakistan (128 orang), Vietnam (122 orang), Arab Saudi (83 orang), Australia (77 orang), Filipina (66 orang), Sri Lanka (65 orang) dan Nepal (43 orang).

Kesemua mereka adalah pelancong jangka masa pendek dan ada yang berada di luar negara atas sebab urusan keluarga.

“Mereka merupakan rakyat Malaysia yang berada di luar negara bagi tujuan jangka masa pendek seperti melancong, urusan keluarga atau bercuti, atau apa-apa sebab seperti itu yang mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

“Namun penerbangan pulang mereka telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia disebabkan oleh sekatan-sekatan perjalanan yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, atau tidak mempunyai kemampuan untuk menanggung kos untuk terus berada di sana,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga hari ini seramai 4,811 telah selamat pulang melalui proses repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia, sumbangan parti politik, pihak swasta, mahupun dibiayai secara persendirian.

Sementara itu, sebuah pesawat sewaan khas Malindo Air (OD8184) dari Nepal membawa 66 penumpang yang terkandas di (43 rakyat Malaysia, 22 rakyat Singapura dan 1 rakyat UK; pasangan rakyat Malaysia) dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 8:05 malam ini.

Selain itu 115 rakyat negara daripada Vietnam dijangka tiba 10:30 malam nanti melalui penerbangan komersial MH 767 yang dijadualkan semula oleh Malaysia Airlines.-MalaysiaGazette