Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) melibatkan 8.3 juta penerima isi rumah dan individu bujang akan dibayar secara berperingkat mulai Isnin ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran fasa pertama ini yang berjumlah RM5.63 bilion.

“Dalam pengumuman awal, BPN dirancang untuk dibayar pada penghujung bulan April 2020. Jumlah keseluruhan BPN sebanyak RM9.24 bilion akan dibayar dalam dua fasa.

“Sukacita saya memaklumkan, bagi fasa pertama BPN pakej PRIHATIN1 , 8.3 juta penerima isi rumah dan individu bujang sudah diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu bagi mengurangkan beban rakyat yang berdepan dengan impak ekonomi akibat penularan Covid-19.

Zafrul juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat terutamanya Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam membolehkan bayaran BPN ini dipercepatkan demi membantu rakyat Malaysia yang memerlukannya.

“Saya juga ingin menasihati rakyat agar berhati-hati dengan scammers yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan Pakej PRIHATIN ini,” katanya.

Penerima juga disarankan merujuk kepada sumber-sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.- MalaysiaGazette