Ratu trek basikal negara, Fatehah Mustapa mengakhiri kariernya selama 11 tahun apabila mengumumkan persaraannya hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa hari ini mengumumkan persaraannya selepas penglibatannya selema 17 tahun sebagai pelumba trek basikal negara berkuatkuasa serta merta.

Atlet berusia 31 tahun itu mengumumkan berita mengejutkan peminat trek basikal tanah air itu di laman Facebook.

Dalam hantaran tersebut, Fatehah merakamkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan mereka sepanjang kariernya.

“Assalamualaikum..Saya membuat keputusan untuk bersara sebagai pelumba basikal selepas 17 tahun berkecimpung dalam sukan kegemaran saya ini.

“Penghargaan besar kepada Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, MSN Terengganu, Sekolah Sukan Bandar Penawar.

“Begitu juga semua penaja saya terdahulu iaitu Sime Darby.CIMB,AirAsia, TUMI, Nike, Oakley atas peluang yang diberikan untuk saya mencapai misi dan impian menjadi kenyataan,” katanya dalam Facebook.

Fatehah umumkan persaraannya dari trek basikal negara selepas 11 tahun

Malah jelas beliau, dirinya bangga menjadi sebahagian daripada kontinjen negara menyertai Olimpik dua kali dan diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang pada Sukan Komanwel 2014.

Fatehah turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarganya yang terus menaruh kepercayaan terhadap kebolehan dan pencapaiannya.

Atlet kelahiran Terengganu itu juga merakamkan jutaan terima kasih kepada pasukan Melbourne Base atas segala bimbingan selama ini sebagai keluarga

“Saya sangat bersyukur mempunyai pasukan ibarat satu keluarga tersayang.

“Kepada satu-satunya insan yang membesarkan saya selama 11 tahun ini dalam trek negara ini dia bukan sekadar menjadi jurulatih, tetapi juga berperanan sebagai bapa yang sentiasa berada di sisi ketika waktu sukar dan pencapaian.

“Segala pengorbanan anda untuk saya yang dianggap anak anda sangat dihargai,, kekal selamat dirumah,” tulis Fatehah. – MalaysiaGazette