Masih ada cubaan rentas negeri, daerah tanpa kebenaran berlaku sepanjang Operasi Pematuhan PKP semalam.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) merayu kerajaan mempertimbangkan hukuman perintah khidmat masyarakat ke atas pesalah muda yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dengan mengenakan hukuman penjara bagi yang gagal membayar denda dianggap sebagai tidak bersesuaian kerana akan menjejaskan masa depan mereka selepas direkodkan sebagai banduan.

Menurut Presiden Peka, Datuk Paduka Zuhairi Ab. Kadir, mereka yang ditangkap akan didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Kes orang ramai didakwa kerana melanggar PKP semakin meningkat. Ini turut melibatkan pesalah muda yang dijatuhi hukuman penjara selepas gagal membayar denda.

“Kita merayu kerajaan agar mengenakan hukuman perintah khidmat masyarakat ke atas pesalah muda. Bentuk hukuman seperti ini lebih baik dari di penjarakan.

“Mereka perlu diberi peluang agar tidak mengulangi lagi kesalahan itu dengan cara melakukan kebaikan dan kebajikan kepada orang lain dalam tempoh tertentu,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Zuhairi Ab. Kadir

Beliau berkata, meskipun ada yang berpendapat hukuman penjara agak setimpal dan mampu memberi pengajaran kepada mereka namun ia bukan penyelesaian yang sesuai bagi setiap individu yang melalui sistem keadilan.

Ini katanya, merupakan kesalahan pertama dan kemungkinan mereka adalah harapan keluarga yang sudah tentu ada yang gagal membayar denda dan terpaksa merengkok dalam penjara dalam tempoh tertentu.

“Kerajaan sewajarnya memandang serius akan kesan seumur hidup yang bakal dihadapi pesalah ini jika mempunyai rekod banduan kerana insiden seperti ini.

“Malah, dengan meletakkan pesalah muda dalam penjara dan sekadar ‘disimpan’ untuk dilepaskan, ini akan menjarakkan mereka dengan masyarakat dan boleh membawa impak negatif kepada pesalah itu dari segi psikologi sepanjang menjalani hukuman bersama pesalah lain,” katanya.

Sehubungan itu, kata Zuhairi, hukuman perintah khidmat masyarakat adalah bentuk aktiviti khidmat masyarakat yang dijalankan pesalah berkenaan dengan kerja membersih kawasan atau membantu penghuni institusi kebajikan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kesalahan mereka kecil sahaja berbanding kesalahan jenayah lain yang lebih berat. Kami harap Peguam Negara menyemak semula hukuman ini kerana masih ada alternatif selain dipenjarakan untuk memberi kesedaran,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cuba terangkan apa hukuman yg sepatutnya mereka terima jgn pandai ckp jer…bila dihukum adalah yg kata kerajaan kejam, sptutnya bantu mereka dan arahkan mereka buat khidmat sosial BULLSHIT..bila kerajaan suruh patuh arahan mereka degil x dgr ckp, x ada plk ngo2 yg bantu utk suruh mereka ikut arahan?..Klu msyrkt sendiri yg degil dan x nk dgr arahan masih slh krjn ke!! Krjan bertndak utk keslmtn org ramai, klu dh ramai org terjangkit nt krjan jga yg diperslhkan sdgkan org ramai terlalu degil utk patuh arahan..bkn kah tu semua menyusahkan org2 yg yg x berslh jika ditimpa penyakit. kerajaan jg yg diperslhkan jika ini berlaku bukan..ya benar mereka masih muda ttp yg dewasa pun sma degil x ikut arahan mcmna pulak..sepatutnya yg dewasa perlu lah tunjukkan contoh yg baik agar anak2 muda blh ikut ini tdk mereka sendiri yg melanggar arahan dan x nk dgr ckp..akhirnya kerajaan yg dipersalahkan..sdh2 lah menyalahkan kerajaan jika kita sendiri x patuh arahan yg diberi. bkn mereka x tahu arahan kerajaan tp sikap pentingkan diri sendiri dan x peka dgn setiap arahan yg diberi harus diubah, ianya utk kebaikan kita semua..

Comments are closed.